153 staf diraikan dalam Majlis Anugerah Tahunan UMT 2018

KUALA NERUS, 29 Julai – Seramai 153 orang staf UMT telah dipilih dan diraikan untuk menerima anugerah kecemerlangan UMT yang melibatkan empat kategori utama iaitu Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, Anugerah Khas Perkhidmatan Cemerlang, Anugerah Khas Naib Canselor, dan Anugerah Julangan Bakat.

“Pada malam ini, UMT memberikan pengiktirafan atas sumbangan yang cemerlang kepada seramai 127 orang penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC), 6 orang penerima Anugerah Khas Perkhidmatan Cemerlang daripada kalangan Ketua Jabatan, seorang penerima Anugerah Khas Naib Canselor yang telah mempamerkan sumbangan istimewa dengan menyelamatkan seorang pelajar antarabangsa yang hampir lemas di kolam renang UMT, dan 19 orang penerima Anugerah Julangan Bakat”, kata Naib Canselor UMT, Prof. Dato’ Dr. Nor Aieni Mokhtar dalam Majlis Anugerah Tahunan UMT 2018 yang diadakan di Dewan Sultan Mizan UMT, malam tadi.

Turut hadir ke majlis tersebut ialah Pengerusi Lembaga Pengarah UMT, Dato’ Mohammed Azlan Hashim; Ahli-ahli Lembaga Pengarah UMT, Datuk Nik Ali Mat Yunus dan Prof. Dato’ Dr. Aziz Deraman.

“Pihak pengurusan UMT sentiasa mengiktiraf budaya kerja cemerlang, komitmen dan jasa yang diberikan oleh staf sama ada dalam tugas rasmi mahupun penglibatan aktif dalam kegiatan sukan, sosial dan kemasyarakatan. Pengiktirafan ini juga dapat mewujudkan persaingan yang sihat dalam membuktikan keupayaan diri staf sama ada berstatus tetap mahupun kontrak dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik”, katanya lagi.

Staf yang menerima anugerah juga digesa untuk menunjukkan contoh yang berkarisma dan teladan yang mulia kepada rakan-rakan yang lain bagi melebarkan kecemerlangan UMT sebagai universiti yang berfokus marin terunggul dan penyumbang kepada kesejahteraan masyarakat serta kelestarian alam. Malah, staf yang cemerlang akan sentiasa berusaha mencari inisiatif untuk menambahbaik proses kerja yang bukan hanya berjaya mencapai, malah melangkaui ekspektasi universiti dan pemegang taruh.

“UMT akan sentiasa menerapkan budaya kreatif dan berfikir di luar kotak bagi meningkatkan produktiviti dan melahirkan warga yang berkualiti dan serba boleh. Melalui Pelan Strategik UMT Tahun 2018-2022, UMT telah merangka pelan pemerkasaan bakat melalui tiga (3) aspek utama iaitu membangunkan bakat akademik unggul, melonjak kecemerlangan bakat sokongan akademik, dan memantapkan tadbir urus bakat. Tambahan pula, UMT perlu bergerak pantas menyerap segala perubahan agar sentiasa setanding dan seiring dengan era Revolusi Industri 4.0,” katanya lagi.