CANSELORI

UNIVERSITI MALAYSIA TERENGGANU

UMT Kongsi Kemeriahan Syawal Bersama 140 Anak Yatim

KUALA NERUS, 28 Jun – UMT meneruskan tradisinya pada tahun ini dengan berkongsi kemuliaan dan kemeriahan Syawal bersama 140 orang anak-anak yatim yang terdiri daripada pelajar-pelajar sekolah sekitar UMT dan anak-anak warga UMT yang berstatus anak yatim. Mereka diraikan dalam Majlis Sambutan Aidil Fitri UMT yang diadakan di Dewan Sultan Mizan, UMT.

“Sumbangan demi sumbangan yang diterima daripada warga UMT dan pihak-pihak yang bekerjasama rapat dengan UMT mengupayakan kita untuk mengagihkan bantuan berbentuk duit raya kepada anak-anak yatim ini. Inilah bukti sifat keperihatinan dan kasih sayang yang disemai dan dipupuk khususnya dalam kalangan warga UMT dan semoga sifat mulia seperti ini terus dipamerkan pada masa-masa akan datang,” kata Naib Canselor UMT, Prof. Dato’ Dr. Nor Aieni Mokhtar. Turut hadir ke majlis tersebut ialah Pengerusi Lembaga Pengarah UMT, Dato’ Mohamed Azlan Hashim dan ahli-ahli Lembaga Pengarah UMT.

“Pada tahun ini, kita perkenalkan tema sambutan yang berbeza dengan tahun yang lepas iaitu “Raya Sama-Sama; Kongsi Juadah Raya”, iaitu selain menu utama yang disediakan oleh pihak penganjur, setiap warga juga digalakkan membawa juadah masing-masing secara potluck untuk dinikmati bersama. Alhamdulillah, sambutan dilihat sangat menggalakkan dan inilah cerminan kepada semangat kebersamaan, kerjasama dan toleransi antara warga,” katanya lagi.

Selain itu, Pusat Pengajian Sains Perikanan dan Akuakultur (PPSPA) telah dinobatkan sebagai Johan Gerai Paling Meriah, disusuli Pejabat Penolong Naib Canselor (Hal Ehwal Korporat dan Jaringan Industri) mendapat Naib Johan dan Canselori mendapat tempat yang ketiga.