Home » Berita Canselori » Pembentukan Pemimpin Yang Berwibawa

Aha May 27, 2018
Waktu
Subuh 5:31 am
Syuruk 6:53 am
Zohor 1:05 pm
Asar 4:30 pm
Maghrib 7:17 pm
Isyak 8:29 pm

Pembentukan Pemimpin Yang Berwibawa

Istilah pemimpin bukan sahaja khusus bagi mereka yang memimpin atau menguruskan kebajikan mereka yang di bawah pimpinan tetapi setiap orang boleh dianggap sebagai pemimpin sekurang-kurangnya kepada diri sendiri.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Setiap kamu adalah pemimpin dan bertanggungjawab terhadap pimpinannya, ketua kerajaan adalah pemimpin dan bertanggungjawab terhadap rakyatnya, suami adalah pemimpin kepada isterinya dan bertanggungjawab terhadap pimpinannya, isteri pemimpin di rumah suaminya dan anak-anaknya dan setiap kamu adalah pemimpin dan bertanggungjawab terhadap pimpinannya.” (HR Bukhari)

Tiada contoh unggul yang boleh diteladani dan dihayati lebih daripada kepimpinan Rasulullah SAW. Baginda mendapat asuhan dan didikan terus daripada Allah SWT untuk memimpin umat. Justeru, bagi mengenal pasti ciri-ciri kepimpinan Rasulullah SAW dalam proses pembentukan pemimpin berwibawa, ialah dengan memahami dan mentadabbur wahyu pasa pertama yang diterima oleh Rasulullah SAW.

Pertama : di antara ayat awal yang dimaksudkan ialah firman Allah SWT dalam surah Al-Alaq ayat 1 yang bermaksud, “Bacalah wahai Muhammad dengan nama Tuhanmu yang menciptakan sekalian makhluk.”

Kedua : firman Allah SWT dalam surah Al-Mudassir ayat 1 hingga 7 yang bermaksud, “Wahai orang yang berselimut! Bangunlah serta berilah peringatan dan amaran kepada umat manusia, dan Tuhanmu maka ucaplah dan ingatlah kebesarannya dan pakaianmu maka hendaklah engkau bersihkan, dan segala kejahatan maka hendaklah engkau jauhi, dan janganlah engkau memberi sesuatu dengan tujuan hendak mendapat lebih banyak daripadanya, dan bagi Tuhanmu maka hendaklah engkau bersabar terhadap tentangan musuh.”

Ketiga : firman Allah SWT dalam surah Al-Muzammil, ayat 1 hingga 4, yang bermaksud, “Wahai orang yang berselimut! Bangunlah sembahyang tahajud pada waktu malam, selain dari sedikit masa untuk berehat, iaitu separuh dari waktu malam, atau kurangkan sedikit dari separuh itu. Ataupun melebih-lebihkan sedikit daripadanya, dan bacalah Quran dengan tertib.”

Daripada ayat-ayat tersebut, dapat disenaraikan beberapa ciri atau kualiti yang perlu ada pada seorang pemimpin berwibawa iaitu –

Pertama : berilmu dan berpengetahuan. Seorang pemimpin itu perlu mempunyai ilmu wahyu yakni berdasarkan Quran dan Hadis serta ilmu akal iaitu pengetahuan umum yang sesuai dengan kepimpinannya.

Kedua : sentiasa peka dan melaksanakan tanggungjawab. Mempunyai wawasan dan keperihatinan agar diri dan mereka yang di bawah kepimpinannya tidak terjebak dalam perkara negatif dan berisiko.

Ketiga : membesar dan mengagungkan Allah SWT. Tunduk dan patuh kepada syariat dalam apa jua urusan sama ada dalam menjalani perintah agama atau urusan dunia atau kepimpinan.

Keempat : penampilan yang bersih pada fizikal, shahsiah, sikap, gerak kerja dan kepimpinan. Bersih daripada unsur penyelewengan, tipu muslihat, sombong dan mementingkan diri sendiri.

Kelima : sangat sensitif dan menjauhi maksiat dan dosa. Apa jua perkara atau isu yang melibatkan maksiat atau pelanggaran maksiat, pasti dijauhi dan jika terlibat dengan maksiat, dengan segera memohon keampunan, kemaafan dan bertaubat.

Keenam : tidak mengharapkan balasan atau pujian berlebihan di atas tanggungjawab yang dilaksanakan, khidmat dan jasa yang diberikan.

Ketujuh : sifat sabar yang tinggi dan ikhlas sama ada dalam urusan mengerjakan taat atau meninggalkan maksiat sabar dengan kerenah khalayak atau mereka yang di bawah pimpinannya, tidak terjejas semangat dengan kritikan atau penghinaan yang diterima.

Kelapan : kekuatan rohani yang tinggi dicerminkan melalui amalan sunnah seperti qiyamulail.

Kesembilan : bacaan Al-Quran dengan baik, meneliti dan mentadabur, yakin bahawa setiap panduannya sangat penting dengan menghayatinya dalam kehidupan dan urusan kepimpinan.

Beberapa kualiti kepimpinan yang ditanam oleh Allah SWT kepada Rasulullah SAW menjadikan Baginda individu yang mulia, pemimpin yang berwibawa, sangat disenangi oleh para sahabat dan umat, serta disegani oleh golongan bukan Islam.

Pemimpin berwibawa juga perlu memiliki ciri-ciri tambahan sebagaimana berikut :-

  1. Akhlak mulia berdasarkan petunjuk Quran dan Hadis
  2. Mempunyai wawasan yang jauh dan berinovasi
  3. Tidak bertindak melulu atau mengikut arus
  4. Membudayakan mesyuarat
  5. Tegas dan adil dalam kepimpinan

[Petikan khutbah Jumaat di Masjid UMT pada 6 April 2018]

Terjemahan / Translation / ترجمة / 翻译