CANSELORI

UNIVERSITI MALAYSIA TERENGGANU

Penjawat Awam Perlu Berdisiplin Menjelang Pilihan Raya Umum

KUALA NERUS, 16 April – Penjawat awam perlu berwaspada dengan tingkahlaku mereka agar tidak menyalahi peraturan menjelang pilihan raya umum ke-14 yang bakal berlangsung pada bulan Mei 2018.

Menurut Pegawai Undang-undang UMT, Mohamad Hafizuddin Zakaria, proses pilihan raya dilaksanakan secara demokrasi dan setiap staf berhak menunaikan kewajipan untuk mengundi. Namun staf UMT masih terikat kepada pematuhan Peraturan 20, Akta 605 iaitu mengenai penglibatan dalam aktiviti politik.

“Pelanggaran kepada peraturan ini membolehkan pihak universiti mengambil tindakan tatatertib kepada staf berkenaan. Antara tindakan yang boleh diambil seperti amaran, denda, pemotongan emolumen, tangguh pergerakan gaji, turun pangkat atau dibuang kerja,” kata beliau semasa memberikan taklimat PRU dalam program Open Mic Canselori di Dewan Senat UMT, hari ini.

“Staf perlu mendapat kebenaran Lembaga Pengarah UMT jika ingin terbabit dalam aktiviti politik atau menyertai mana-mana parti politik. Malah, Akta 605 masih membenarkan staf untuk menjadi ahli biasa mana-mana parti politik. Namun, setiap staf perlu menjaga integriti dan tidak mencampur-adukkan urusan politik dengan urusan kerja,” katanya lagi.