CANSELORI

UNIVERSITI MALAYSIA TERENGGANU

Khidmat Nasihat Profesor Untuk Pembangunan Negeri Terengganu

KUALA TERENGGANU, 25 April – Kerajaan Negeri Terengganu akan menggunakan khidmat nasihat dan kepakaran Profesor dalam menasihati serta membantu memantapkan strategi dan pelaksanaan program-program pembangunan negeri Terengganu dalam pelbagai bidang.

Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd. Rahman berkata, dalam usaha untuk menjadikan negeri Terengganu sebagai sebuah negeri yang berdaya maju dengan pemikiran rakyat kelas pertama, Kerajaan Negeri Terengganu amat memerlukan sumbangan kumpulan pemikir untuk menyumbang buah fikiran dalam menambah nilai dan menjayakan perancangan pembangunan negeri serta pelaksanaan program-program strategik.

“Antara sumber utama daripada kategori cendikiawan yang berpotensi untuk digembleng dan boleh memain peranan secara lebih berkesan adalah dari kalangan profesor dan profesor madya. Mereka boleh menyumbang input kepakaran dari segi akademik, profesional, khidmat nasihat dan idea pemikiran baharu dalam pelbagai bidang. Dengan sebab itu, saya bersetuju untuk menubuhkan Majlis Profesor Negeri Terengganu bagi membantu pihak kerajaan untuk memperkukuh asas penggubalan dasar atau polisi pentadbiran dan pembangunan negeri Terengganu serta pelaksanaan program-program yang dirancang”, kata beliau semasa merasmikan Pra Pelancaran Majlis Profesor Negeri Terengganu di Duyong Marina & Resort, Kuala Terengganu, petang kelmarin.

Turut hadir ialah Naib Canselor UMT, Prof. Dato’ Dr. Nor Aieni Mokhtar; Naib Canselor UniSZA, Prof. Dato’ Dr. Ahmad Zubaidi Abd. Latif dan Naib Canselor UKM, Prof. Tan Sri Dato’ Seri Dr. Noor Azlan Ghazali.

“Profesor-profesor ini akan dilantik untuk memberikan nasihat kepakaran di bawah portfolio Exco-exco Kerajaan Negeri Terengganu. Mereka akan membantu Exco-exco untuk membuat kajian penggubalan dasar dan merancang program-program strategik untuk faedah negeri dan rakyat Terengganu. Pada masa ini terdapat 98 orang Profesor yang berasal dari negeri ini yang berkhidmat di Universiti Awam dan kepakaran mereka sangat bernilai”, katanya lagi.

Selain itu, UMT dan UniSZA turut mengukuhkan hubungan kerjasama keserakanan dan kesepunyaan dengan bertukar dokumen Memorandum Persefahaman di program tersebut.