CANSELORI

UNIVERSITI MALAYSIA TERENGGANU

Sistem kawalan dalaman yang mantap wujudkan budaya kerja cemerlang

KUALA NERUS, 29 Mac – Sistem kawalan dalaman yang mantap di sesebuah jabatan akan mewujudkan budaya kerja cemerlang dan berintegriti. Setiap sumber yang dimiliki oleh jabatan seperti aset, sumber tenaga dan sumber kewangan perlu digunakan secara optimum, berhemah serta tiada penyelewengan dan salah guna kuasa.

Menurut Ketua Audit Dalam UMT, Prof. Madya Dr. Zalailah Salleh, setiap staf UMT perlu mematuhi peraturan dan prosedur yang telah ditetapkan oleh pihak universiti. Selain itu, kawalan keselamatan fizikal juga perlu diperkasakan bagi memastikan aset universiti sentiasa terjaga dan terpelihara.

“Polisi dan prosedur yang diwujudkan adalah untuk mengawal operasi setiap jabatan agar dilaksanakan dengan tertib dan teratur. Sebagai contoh, pegawai penerima aset perlu menyemak aset yang diterima daripada pembekal dengan dokumentasi sebelum mengesahkan ia diterima dengan betul,” katanya lagi semasa menyampaikan taklimat dalam program Open Mic Canselori (OMC) pada hari ini di Bilik Jamuan Senat UMT.

Turut hadir ialah Timbalan Pengarah Pusat Antarabangsa, Dr Isma Rosila Ismail dan Timbalan Juruaudit Dalam, Mohd Riduan Mohamed Rakhazali.

“Setiap staf juga perlu menyediakan pembuktian bahawa segala tuntutan bayaran balik atau pembelian sesuatu item adalah betul dan benar. Jika didapati salah, pihak universiti boleh mengenakan tindakan tatatertib dan surcaj kepada staf berkenaan. Jadi pastikan kita melaksanakan tugas dengan penuh amanah, jujur dan bertanggungjawab,” katanya lagi.