Home » Berita Canselori » Membudayakan Kebersihan

Rab Jun 20, 2018
Waktu
Subuh 5:33 am
Syuruk 6:56 am
Zohor 1:09 pm
Asar 4:36 pm
Maghrib 7:22 pm
Isyak 8:36 pm

Membudayakan Kebersihan

Kebersihan merupakan aspek yang sangat dititikberatkan oleh Islam. Malah di antara ayat terawal diturunkan kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW adalah berkaitan dengan kebersihan. Firman Allah SWT dalam surah Al-Muddassir ayat 1-6 yang bermaksud, “Wahai orang yang berselimut! Bangunlah serta berilah peringatan dan amaran kepada umat manusia, dan Tuhanmu maka ucaplah dan ingatlah kebesaranNya, dan pakaianmu maka hendaklah engkau bersihkan, dan segala kejahatan maka hendaklah engkau jauhi dan janganlah engkau memberi sesuatu dengan tujuan hendak mendapat lebih banyak daripadanya.”

Dalam ayat ini jelas Allah SWT telah memerintahkan Nabi Muhammad SAW supaya menyeru manusia kepada mentauhidkan Allah, membersihkan pakaian daripada kekotoran, dan membersihkan diri daripada maksiat, serta mengikhlaskan kerana Allah dalam memberi sesuatu kepada orang lain. Kebersihan juga dikaitkan dengan kesempurnaan iman seseorang itu sendiri, sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Kebersihan itu sebahagian daripada iman.” (HR Imam Ahmad dan Muslim)

Kebersihan yang dituntut oleh Islam adalah mencakupi semua aspek kehidupan, namun keseluruhannya bolehlah disimpulkan dalam dua kategori utama iaitu kebersihan rohani dan kebersihan jasmani. Kebersihan rohani yang wajib dijaga antaranya ialah :-

Pertama : menjaga kebersihan iktikad atau akidah daripada segala unsur syirik (mempersekutukan Allah dengan sesuatu). Sabda Rasulullah SAW dalam hadis qudsi bahawa Allah berfirman yang bermaksud, “Aku Maha Suci daripada sekutu-sekutu, sesiapa yang melakukan sesuatu amalan yang mempersekutukan Aku dengan yang lain nescaya Aku akan biarkan dia bersama sekutunya itu (Aku tidak akan menerima amalannya).”

Kedua : menjaga kebersihan amalan daripada segala unsur biadah, khurafat dan sesat. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Sesiapa yang melakukan sesuatu amalan yang bukan daripada sunnah kami ini maka ia tertolak.”

Ketiga : menjaga kebersihan jiwa daripada segala sifat mazmumah, seperti sombong, riak, ujub, tamak, hasad dengki, dendam dan sebagainya. Firman Allah SWT dalam surah As-Shams, ayat 9-10 yang bermaksud, “Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya yang sedia bersih bertambah-tambah bersih dengan iman dan amal kebajikan, dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya yang sedia bersih itu susut dan terbenam kebersihannya dengan sebab kekotoran maksiat.”

Kebersihan jasmani yang dituntut oleh Islam untuk dijaga pula mencakupi semua jenis kebersihan zahir, yang boleh mendatangkan ketenangan dan keselesaan hidup, antaranya :-

Pertama : menjaga kebersihan tubuh badan daripada semua bentuk kekotoran, yang boleh menghalangkan sahnya sesuatu ibadah dan menjejaskan kesihatan seperti najis, hadas dan lain-lain. Firman Allah SWT dalam surah Al-Maidah, ayat 6 yang bermaksud, “Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan sembahyang pada hal kamu berhadas kecil maka berwuduklah, iaitu basuhlah muka kamu dan kedua belah tangan kamu meliputi siku, dan sapulah sebahagian kepala kamu, dan basuhlah kaki kamu meliputi buku lali dan jika kamu berjunub (berhadas besar) maka bersucilah dengan mandi wajib.

Termasuk dalam tuntutan membersihkan tubuh badan juga ialah membersihkan anggota-anggota yang tertentu yang menjadi fitrah manusia sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Lima perkara yang menjadi fitrah manusia iaitu berkhatan, mencukur bulu kemaluan, memotong kuku, mencabut bulu ketiak dan menggunting misai.” (HR Muslim)

Kedua : menjaga kebersihan pakaian. Umat Islam dianjurkan berpakaian yang bersih, indah dan kemas serta memakai bau-bauan, terutama sekali ketika hendak menunaikan ibadah kepada Allah, atau menghadiri sesuatu majlis keramaian, agar dapat memberi ketenangan dan keselesaan kepada orang-orang yang berada disekelilingnya. Firman Allah SWt dalam surah Al-A’raf ayat 31 yang bermaksud, “Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kami kamu ke tempat ibadah (mengerjakan solat).”

Ketiga : menjaga kebersihan makanan dan minuman. Islam menganjurkan umatnya memakan makanan yang halal lagi baik dan mengharamkan mereka memakan makanan dan minuman yang najis atau kekotoran yang boleh memudaratkan kesihatan. Firman Allah SWT dalam surah Al-Baqarah ayat 168 yang bermaksud, “Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi, yang halal lagi baik dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan, kerana sesungguhnya syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu.”

Keempat : menjaga kebersihan rumah kediaman dan persekitarannya, daripada sampah-sarap dan semak-samun, supaya sentiasa kelihatan ceria dan indah, demi menghindari daripada pelbagai penyakit dan mendatangkan keselesaan hidup kepada diri, dan keluarga.

Kelima : menjaga kebersihan tempat ibadah, seperti masjid atau surau. Kedua-dua tempat ini merupakan tempat kunjungan orang ramai untuk beribadah, menghadiri majlis ilmu, bermesyuarat dan sebagainya. Oleh itu, menjaga kebersihan amatlah dituntut dalam Islam, terutama sekali kawasan bilik air dan tandas, demi memberi keselesaan kepada para pengunjung.

Keenam : menjaga kebersihan alam sekitar. Islam juga menganjurkan umatnya supaya menjaga kebersihan alam sekitar, terutama sekali tempat-tempat awam yang menjadi tumpuan orang ramai, agar sentiasa kelihatan ceria dan indah, demi memberi ketenangan dan keselesaan kepada penghuni dan pengunjungnya. Hindarilah sikap ambil mudah, membuang sampah merata-rata, juga sikap suka meletakkan bungkusan sampah di atas bonet kereta yang menyebabkan terjatuh dan berselerak di jalan raya, yang menjijikkan mata memandang. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Takutlah kamu dua perkara yang banyak mengundang laknat. Sahabat bertanya : Apa dia perkara banyak mengundangkan laknat itu ya Rasulullah? Baginda menjawab : iaitu orang yang membuang air besar di jalan yang dilalui orang ramai dan juga di tempat mereka berteduh (mengotorkannya).” (HR Muslim)

Kesimpulannya, menjaga kebersihan adalah tanggungjawab setiap insan dan semua pihak, demi mematuhi tuntutan Islam dan sunnah Rasulullah SAW serta menghindari daripada segala bencana yang tidak diingini berlaku, yang boleh menjejaskan kehidupan seharian, seperti merebaknya penyakit-penyakit berjangkit, keracunan makanan, banjir kilat dan sebagainya.

[Petikan khutbah Jumaat di Masjid UMT pada 2 Mac 2018]

Terjemahan / Translation / ترجمة / 翻译