CANSELORI

UNIVERSITI MALAYSIA TERENGGANU

Cabaran dan Peluang IR4.0

KUALA NERUS, 28 Feb. – Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) banyak menekankan penggunaan internet dalam setiap urusan kehidupan (internet of things). Ia melibatkan penggunaan peranti pintar dan teknologi secara meluas seperti telefon pintar, aplikasi internet dan teknologi realiti maya. Malah, IR4.0 akan menghasilkan ledakan maklumat dan data yang besar dan cepat.

Menurut Pengarah Pusat Antarabangsa UMT, Dr. Ahmad Faisal Mohamad Ayob, seluruh dunia telah terkesan dengan IR4.0 dan mereka telah bergerak pantas agar tidak ketinggalan dalam arus perdana ini. Oleh itu, staf UMT perlu melengkapkan diri dan membuat persediaan untuk menempuh pelbagai cabaran dalam IR4.0.

“IR4.0 mengharmonikan manusia dengan peranti. Sebagai contoh, di China, peminta sedekah telah menggunakan sistem QR Code untuk memudahkan pemberi sedekah tanpa mengeluarkan wang secara fizikal tetapi transaksi secara atas talian. Dalam bidang perubatan pula, setiap orang boleh menggunakan aplikasi telefon untuk memeriksa tahap kesihatan. Dalam bidang perniagaan, penggunaan sistem atas talian memang berkembang maju sehingga sekarang, tidak perlu beratur atau keluar pejabat untuk memesan makanan, semuanya dibuat menggunakan aplikasi internet,” katanya dalam program Open Mic Canselori (OMC), di Bilik Jamuan Senat UMT, hari ini.

Turut hadir Pengarah Pusat Islam Sultan Mahmud, Dr. Firdaus Khairi Abd. Kadir dan Timbalan Juruaudit Dalam, Encik Mohd Riduan Mohamed Rakhazali.

“UMT perlu mengambil peluang daripada penggunaan IR4.0. Banyak automasi kerja boleh ditukarkan kepda internet, sistem atau aplikasi atas talian. Sebagai contoh sistem pengecaman wajah bagi memudahkan urusan kehadiran ke pejabat dan kuliah pengajaran. Ini sudah pasti akan memudahkan dan mempercepatkan urusan penyampaian perkhidmatan. Malah ia dapat meningkatkan tahap keselamatan dalam kampus,” katanya lagi.

Selain itu, wujud beberapa kesan daripada IR4.0 antaranya penggunaan tenaga kerja akan berkurangan kerana kebergantungan yang tinggi terhadap komputer, teknologi, robotik dan internet. Malah, nilai hubungan kemanusiaan juga akan menurun kerana manusia banyak berkomunikasi melalui internet dan tidak meluangkan masa untuk melakukan aktiviti secara bersama kerana semuanya dikongsikan dalam internet.

“Kesan negatif IR4.0 ialah penggunaan sumber manusia dalam sektor ekonomi akan berkurangan kerana ia digantikan dengan penggunaan teknologi dan komputer. Di USA, banyak perbincangan mengenai isu dan kesan IR4.0 antaranya ialah pendapatan asas sumber manusia akibat penggurangan sumber manusia dalam sektor ekonomi,” katanya lagi.