Home » Berita Canselori » Hampir 3,000 Penduduk Pantai Senok Mendapat Bekalan Air Bersih

Rab Jun 20, 2018
Waktu
Subuh 5:33 am
Syuruk 6:56 am
Zohor 1:09 pm
Asar 4:36 pm
Maghrib 7:22 pm
Isyak 8:36 pm

Hampir 3,000 Penduduk Pantai Senok Mendapat Bekalan Air Bersih

BACHOK, 3 Feb. – Hampir 3,000 penduduk Kampung Pantai Senok di daerah Bachok Kelantan menarik nafas lega apabila masalah bekalan air bersih di kampung itu dapat diatasi dengan pembinaan loji nyahgaram air laut yang bernilai RM5 juta. Projek ini diusahakan oleh 16 orang penyelidik tempatan daripada Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) yang diketuai oleh Profesor Dr. Ahmad Fauzi Ismail, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), UTM.

Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Idris Jusoh berkata, penghasilan sistem rawatan air bersih dan selamat ini adalah hasil teknologi penyelidik tempatan yang dibiayai sepenuhnya oleh pihak Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia, melalui geran Translational Research Grant Scheme (TRGS) di bawah Program Penyelidikan Strategik KPT Jaminan Air Kebangsaan. Ia telah mendapat kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT) jajahan Bachok, Kelantan dan penduduk kampung di sini yang turut terlibat dalam menjayakan projek khas ini melalui runding cara dan khidmat nasihat pelaksanaan program.

“Pembangunan dan pemasangan sistem ini telah mengambil masa selama 5 bulan. Sistem ini berkemampuan menampung keperluan lebih kurang 3,300 pengguna sehari dengan keupayaan penghasilan air bersih terawat berkapasiti 500,000 liter sehari (500m3/hari). Sistem ini juga berupaya menapis dan merawat sumber air mentah dari laut di sekitar pesisir pantai. Pemilihan Kampung Pantai Senok amat tepat kerana penduduk di sini menghadapi masalah mendapatkan bekalan air bersih sejak bertahun-tahun”, katanya lagi selepas merasmikan Loji Nyahgaram Air Laut di Kampung Pantai Senok.

Turut hadir adalah Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Tinggi, Datin Paduka Ir. Dr. Siti Hamisah Binti Tapsir; DUN Tawang, Datuk Dr. Awang Adek bin Hussin; Naib Canselor UTM, Profesor Datuk Ir. Dr. Wahid bin Omar; Naib Canselor UMT, Prof. Dato’ Dr. Nor Aieni binti Haji Mokhtar; dan Ketua Projek, Prof. Dr. Ahmad Fauzi Ismail.

Menurut Ketua Projek, Prof. Dr. Ahmad Fauzi Ismail, Seawater Desalination (SW-DS) merupakan antara kaedah alternatif yang dikenal pasti dapat memastikan sumber air yang mencukupi dan konsisten di Malaysia. Sebagai contoh, Singapura telah mengguna pakai kaedah penyahgaraman air laut sebagai alternatif sumber air mentah di mana 25% keperluan air Singapura diperolehi melalui 4 loji sedia ada. Selain daripada itu, teknologi seumpama ini juga telah digunapakai di 15 buah negara. Pemasangan sistem rawatan air ini juga diharapkan menjadi daya tarikan kepada pelancong di sini kerana sistem pemprosesan air laut bagi kegunaan harian ini dapat mendedahkan teknologi baharu bagi rawatan air mentah kepada penduduk setempat dan juga para pelancong.

Naib Canselor UMT, Prof. Dato’ Dr. Nor Aieni Mokhtar berkata projek nyah-garam air laut ini merupakan kaedah membuang kandungan garam dalam air laut menjadi air tawar dengan menggunakan teknologi penapis membrane, hasil gabungan ilmu sains, teknologi dan kejuruteraan. “Sistem nyah-garam ini mampu merawat air mentah dari Sungai Pengkalan Datu dengan mengurangkan tahap kemasinan dan kelikatan air sehingga 99%. Hasil kajian yang dibuat kepada air yang telah diproses dengan loji nyah-garam ini mendapati ianya sesuai diguna untuk keperluan harian dan boleh diminum. Namun begitu, saranan Kementerian Kesihatan Malaysia, bahawa air ini juga perlulah dimasak terlebih dahulu sebelum diminum sepertimana air yang biasa dibekalkan oleh Air Kelantan SDN. BHD (AKSB)”, katanya lagi.

Terjemahan / Translation / ترجمة / 翻译