UMT Cakna Komuniti Nelayan Mengabang Telipot

KUALA NERUS, 25 Jan. – Kejadian ombak kuat dan fenomena air pasang besar di pantai Mengabang Telipot sejak bulan Disember tahun lepas telah menyebabkan hakisan pantai yang teruk dan ia menjejaskan kegiatan komuniti nelayan di kawasan terbabit. Malah kejadian itu menyebabkan nelayan terpaksa memindahkan bot yang diletakkan di pesisir pantai ke tempat lebih selamat, kerana bimbang runtuhan lebih teruk berlaku.

Menyedari akan kesukaran yang ditanggung oleh komuniti nelayan di situ, UMT telah mengadakan ‘Program UMT Cakna UMT Sayang Bersama Komuniti Nelayan Mengabang Telipot’ pada hari ini bertempat di Kampung Tengah, Mengabang Telipot, Kuala Nerus, Terengganu. Program ini dilaksanakan atas dasar keprihatin dan kasih sayang terhadap masalah yang dihadapi oleh komuniti setempat yang hidup berjiran dengan UMT. Naib Canselor UMT, Prof. Dato’ Dr. Nor Aieni Mokhtar telah hadir untuk berbual mesra dan turut menyampaikan sumbangan beras dan minyak kepada para nelayan. Turut hadir Prof. Dr. Fauziah Abu Hasan, Penolong Naib Canselor (Hal Ehwal Korporat dan Jaringan Industri) dan Encik Jaafar @ Abd. Rahman Abu Bakar, Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan Kuala Terengganu Utara.

“PIhak UMT amat memahami akan kesukaran hidup nelayan apabila tiba musim tengkujuh, tambahan pula kejadian hakisan pantai yang teruk menyebabkan kawasan pendaratan bot nelayan turut terjejas. Pihak UMT telah menubuhkan pasukan ‘task-force’ mengenai hakisan pantai dan berdasarkan kajian pasukan tersebut didapati bahawa lebih 200 orang nelayan dan lain-lain atau sekurang-kurangnya 50% terjejas dengan kesan hakisan pantai, dengan bilangan isi rumah majoriti kurang dari 5 orang atau 56.75%. Manakala nilai kerugian yang terlibat secara keseluruhan kerosakan harta benda termasuk rumah, kenderaan dan pertanian serta ternakan berjumlah RM80,900.00. Dengan purata pendapatan isi rumah bernilai RM1,166.30 didapati purata kerugian isi rumah akibat hakisan ini berjumlah RM606.35,” kata Prof. Dato’ Dr. Nor Aieni.

“Kami sentiasa prihatin dengan isu ini dan program yang diadakan pada hari ini menggambarkan kecaknaan kami kepada komuniti nelayan. Kami berharap sumbangan yang dihulurkan dapat meringankan beban yang ditanggung oleh nelayan. Kami mencadangkan kawasan pendaratan bot bagi nelayan di Pantai Mengabang Telipot disediakan melalui konsep inovasi yang dinamakan sebagai Floating Breakwater,” katanya lagi.