Buku Momentum yang setebal 39 muka surat itu yang turut diselitkan dengan puisi dan pantun disempurnakan pelancarannya oleh Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Haji Mohd Zubir Embong di Dewan Al-Irfan Kolej Siswa UMT, pada hari ini. Turut hadir dalam program itu ialah Naib Canselor UMT, Prof. Dato’ Dr. Nor Aieni Mokhtar; Timbalan Naib Canselor (HEPA), Prof. Madya Dr. Che Mohd Ruzaidi Ghazali; dan Pengetua Kolej Siswa, Haji Awang Koding Che Tom.

Menurut Dato’ Haji Mohd Zubir, buku Momentum merupakan platform perkongsian idea dan ilham yang membuktikan bahawa pelajar UMT adalah kreatif, berpengetahuan seni serta memiliki kemahiran yang mengkagumkan dalam eksplorasi nilai estetika. Malah, buku ini juga merupakan medium perkongsian maklumat untuk memberi pendedahan kepada masyarakat dan pemain industri tentang bakat dan kemahiran dimiliki oleh pelajar UMT.

“Pelajar universiti perlu menjadi sumber inspirasi, mendidik dan menambah nilai kepada masyarakat. Program seumpama ini akan diteruskan bukan sahaja di universiti, malah akan dilaksanakan juga di hospital, masjid dan taman asuhan kanak-kanak,” kata beliau lagi.