Home » Berita Canselori » Muhasabah Diri Sebelum Dihisab Allah

Rab Jun 20, 2018
Waktu
Subuh 5:33 am
Syuruk 6:56 am
Zohor 1:09 pm
Asar 4:36 pm
Maghrib 7:22 pm
Isyak 8:36 pm

Muhasabah Diri Sebelum Dihisab Allah

Salah satu usaha yang perlu dilakukan oleh setiap muslim ialah bermuhasabah, iaitu menilik dan memeriksa diri bagi menilai sikap, pengucapan dan gerak kerja yang dilakukan, sama ada selari dan menepati dengan ajaran yang disyariatkan atau sebaliknya. Jika sekiranya memenuhi tuntutan agama maka perlu diteruskan, dipertingkatkan dan ditambah nilai. Sebaliknya jika didapati menyimpang daripada landasan syarak, maka perlu diperbetulkan dengan bertaubah dan beristiqamah agar terus berada di atas landasan syarak.

Perlunya setiap orang bermuhasabah, adalah berdasarkan firman Allah Taala dalam surah Al-Hasr, ayat 18 yang bermaksud, “Wahai orang yang beriman! Bertakwalah kepada Allah dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan apa yang ia telah sediakan untuk hari esok. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah amat meliputi pengetahuanNya akan segala yang kamu kerjakan.”

Dalam ayat tersebut, dengan jelas Allah memerintahkan setiap individu memelihara diri daripada perkara yang menyebabkan kemurkaan Allah, sentiasa menyedari kehadiran Allah dalam kehidupannya. Seterusnya hendaklah memastikan keseluruhan diri berada dalam syariat Allah, dan tidak mencerobohnya denga perlakuan maksiat. Dengan demikian seseorang yang mahukan dirinya sentiasa dalam ketakwaan, perlu bermuhasabah. Jika terbukti dia melakukan pelanggaran, hendaklah segera bertaubat dan menyempurnakan ketaatan penuh istiqamah, dengan memastikan terus berada di atas landasan syarak serta meningkatkan kualiti amalan penuh kesetiaan.

Matlamat utama muhasabah seperti yang tercatat dalam ayat 18 surah Al-Hasr tersebut ialah untuk menghadapi hari kiamat yang tidak diketahui bila akan berlaku. Ianya boleh berlaku bila-bila masa sahaja. Oleh yang demikian, melihat dan menyemak diri perlu dilakukan pada setiap masa yang wajar, setiap hari menjelang, setiap minggu, setiap bulan dan setiap tahun baru yang muncul atau setiap hari ulang tahun kelahiran diraikan. Dalam ertikata yang lain, setiap masa kita hendaklah bertanggungjawab terhadap apa yang kita lakukan.

Dengan bermuhasabah, kita akan berada di atas landasan yang betul kerana sentiasa bertaubat, mengubah sikap kepada lebih positif dan meningkatkan kualiti hidup, selari dengan tuntutan agama. Melalui proses tersebut, kita lebih bersedia dan bertawakal menghadap Allah, terutama di hari kiamat yang akan dihitung dan dihisab segala amalan kita di dunia. Firman Allah SWT dalam surah Al-Haqqah, ayat 18 yang bermaksud, “Pada hari itu, kamu semua dihadapkan untuk hitungan amal, tidak ada yang tersembunyi kepada Allah dari perkara-perkara kamu yang tersembunyi.”

Berpandukan kepada ayat tersebut dan sebelumnya, kita perlu juga bertanya diri kita, apakah kehidupan kita sejajar dengan syariat? Adakah kita mematuhinya dalam setiap situasi? Adakah kita pengikut setia junjungan Rasulullah SAW? Adakah kita mampu mengawal diri daripada melakukan maksiat? Adakah kita telah menunaikan hak Allah dan hambaNya dengan sempurna? Adakah kita siap sedia menemui Allah pada bila-bila masa?

Berilah jawapan yang jujur. Tiada siapa yang tahu kecuali diri kita dan Allah SWT. Firman Allah SWT dalam surah Al-Qiamah ayat 14 yang bermaksud, “Bahkan manusia itu sangat mengetahui dengan mendalam terhadap dirinya sendiri.” Tiada apa yang perlu dimalukan, kerana kita berhadapan dengan Allah yang sedia mengetaui segala-galanya tentang diri kita. Justeru, bermuhasabahlah dengan langkah-langkah berikut :-

Pertama : mulakan dengan menyemak perkara yang wajib dan yang sepatutnya dilakukan. Jika didapati ketinggalan atau kekurangan maka pastikan diqada, dilengkapkan atau disempurnakan serta bertaubat.

Kedua : periksa diri, jika terdapat larangan atau perkara yang tidak disukai Allah ada dalam senarai, maka jangan diulangi, berjanjilah bahawa kita tidak akan mengulanginya dan bertaubatlah.

Ketiga : mengingati semula jika kita terlalu banyak membuang masa dalam perkara yang harus atau melalaikan, maka bersegeralah mengingati Allah dan pastikan penglibatan dalam perkara yang harus itu membawa kepada kebaikan dan memberi pahala.

Keempat : membayangkan semula segala apa yang terlibat dengan perasaan, pemikiran, sikap dan pergerakan kita. Jika lebih kepada perkara yang negatif, berazamlah untuk tidak akan mengulanginya lagi. Sebaliknya, berubahlah dengan memastikan penglibatan semua itu dalam perkara yang positif, bersih dan menepati syarak.

Kelima : tidak membiarkan diri kita dengan sikap tidak perlu bermuhasabah dan bertaubat kerana berpendapat kita orang yang soleh tidak berbuat dosa, atau sebaliknya berputus-asa disebabkan terlalu banyak maksiat dilakukan, menunggu mendapat hidayah, menyangka belum tiba ajal lantaran masih muda, atau terpengaruh dengan rakan yang tiada kecenderungan bermuhasabah dan bertaubat.

Akhirnya, marilah kita bermuhasabah supaya proses hisab di hari kiamat kelak berjalan lancar dan menikmati kebahagiaan hidup dalam syurga firdaus. Rapatkan diri dengan individu yang sering bermuhasabah dan hadir majlis-majlis ilmu serta hindarilah diri daripada tempat-tempat atau suasana yang melalaikan. Muhasabah dan perbaikilah kehidupan beragama saudara. Jangan tunggu hari esok, nanti penyesalan yang dituai.

[Petikan khutbah Jumaat di Masjid UMT pada 29 Disember 2017]

Terjemahan / Translation / ترجمة / 翻译