Motivasi Membangunkan Kekuatan Diri Menuju Keredhaan Ilahi

 

Sesungguhnya Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, menerima amalan soleh kita semua, dan menjadikan kita hamba-hambaNya yang tidak pernah berputus asa untuk berusaha dan terus berusaha bagi mendekatkan diri kepadanya. Kerana itu, bagi memulakan khutbah Jumaat pada hari ini, saya berpesan kepada diri saya dan juga sidang Jumaat sekalian, marilah sama-sama kita bertakwa kepada Allah SWT. Bertakwalah kepadaNya zahir dan batin, dan jauhilah dosa dan maksiat sama ada zahir mahupun batin. Mudah-mudahan kita dikurniakan oleh Allah SWT sebuah kehidupan yang mendamaikan dan dimatikan dalam husnul khatimah dengan mendapat keberkatan dan keredhaan di dunia dan akhirat.

Sesungguhnya Allah SWT telah menghidupkan kita sebagai manusia di bumi yang bertuah ini, adalah nikmat yang wajib disyukuri. Dikurniakan kepada kita nikmat iman dan Islam, juga suatu nikmat yang wajib disyukuri. Dikurniakan kepada kita tubuh badan yang sihat walafiat, akal fikiran yang waras dan hati nurani, yang mampu merasa dan mencerap tanda-tanda kebesaran Allah SWT, juga adalah suatu nikmat yang wajib disyukuri. Oleh itu bersyukurlah sebanyak-banyaknya kepada Allah SWT dengan lidah kita, dengan anggota dan dengan hati nurani kita.

Sesungguhnya hidup di dunia ini tidak lama, cuma sebentar sahaja. Rata-rata diberikan kesempatan hidup dalam lingkungan umur antara 60 hingga 70 tahun, yang lebih daripada itu cuma jarang-jarang sahaja. Apabila ajal tiba, kita akan balik mengadap Allah SWT. Tidak terlewat dan tidak juga terawal, walaupun sesaat. Ya, mahu tidak mahu, setiap orang daripada kita akan mati. Kelak, kita akan berada di alam kubur, seterusnya di padang mahsyar, dan akhirnya sama ada ke syurga yang penuh dengan nikmat dan kesenangan, ataupun ke neraka yang penuh siksaan dan azab yang amat menyakitkan.

Oleh itu, kita perlu sedar bahawa, dalam kesempatan hidup ini, menjadi kewajipan kepada kita menjadi hamba Allah yang sejati kepada Allah SWT, dengan mentaati dan melaksanakan syariat Islam, dan dalam masa yang sama, kita wajib memikul beberapa amanah dan tanggungjawab dengan penuh tekun dan ikhlas, sesuai dengan peranan kita sebagai khalifah di muka bumi ini.

Justeru, kita hendaklah bersungguh-sungguh membangunkan akal dan rohani kita, sebagaimana kita semua bersungguh-sungguh membangunkan jasmani, dengan mencari rezeki yang halal dan berkat, menjaga kesihatan diri dengan pemakanan yang seimbang, membangunkan rumahtangga, memajukan kampung, negeri dan seterusnya negara dalam berbagai bidang.

Persoalannya sekarang, kenapakah kita wajib membangunkan jasmani dan rohani kita semua? Jawapannya ialah kerana berdasarkan kepada petunjuk Allah SWT, melalui ayat-ayat suci Al-Quran dan hadis-hadis Nabi SAW, maka alim ulama menyatakan bahawa, sesungguhnya tubuh badan kita ini mempunyai dua unsur yang wajib dipelihara dan dibangunkan.

Yang pertama : Unsur jasmani iaitu anggota tubuh badan yang zahir, bermula daripada hujung rambut hingga ke hujung kaki, yang membolehkan kita bergerak, bertindak dan bekerja.

Dan kedua : Unsur rohani iaitu unsur yang berkaitan dengan hati, yang mampu merasa, yang mampu bersabar, yang merasa sedih, terhibur, suka hati, dan bermacam-macam sifat serta kekuatan dalaman, seperti merasai khusyuknya beribadah, lazatnya berzikir, sedapnya membaca Al-Quran dan sebagainya lagi. Marilah, dalam kesempatan khutbah Jumaat hari ini, kita merenung kepada penegasan Allah SWT di dalam surah Al-An’am, ayat 122, yang bermaksud, “Adakah orang yang mati hatinya dengan kufur, kemudian Kami hidupkan dia semula dengan hidayah petunjuk, dan Kami jadikan baginya cahaya iman yang menerangi sehingga dapatlah dia membezakan antara yang benar dan yang salah, dan dapatlah dia berjalan dengan suluhan cahaya itu dalam masyarakat manusia, adakah orang yang demikian keadaan sama seperti orang yang tinggal tetap di dalam gelap-gelita kufur yang tidak dapat keluar sama sekali daripadanya? Demikianlah sebagaimana iman itu diperlihatkan keelokan kepada orang-orang yang beriman, diperlihatkan pula pada pandangan orang-orang kafir itu akan kejelekan apa yang telah mereka lakukan daripada perbuatan kufur dan segala jenis maksiat”.

Kalau sebelum ini, kita banyak dibuai oleh angan-angan, terlalu sibuk mengejar keuntungan duniawi semata-mata, bahkan mungkin banyak dilalaikan dengan pelbagai jenis hiburan yang tidak berfaedah, sehingga melupai kepada hakikat kehidupan ini, maka mulai hari ini, ayuhlah, ayuhlah tuan-tuan dan saudara-saudara sekalian, kita berazam dengan niat yang ikhlas, untuk sama-sama kita membangunkan akal dan hati nurani kita, kerana dengan membangunkan kedua-duanya, merupakan jalan untuk makrifat Allah, jalan mengenal Allah SWT, sebagai usaha dan ikhtiar untuk menjadi hamba Allah yang sebenarnya.

Marilah kita luangkan masa untuk belajar dan terus belajar secara istiqamah ilmu-ilmu fardu ain. Dengan itu, kita dapat memahami dan melaksanakan dengan sempurna tuntutan rukun iman dan rukun Islam. Sudah sampai masanya kita lebih serius untuk belajar ilmu agama. Tuntutlah ilmu daripada alim ulama pewaris para nabi, daripada buaian hingga ke liang lahad. Semoga dengan itu, hati kita semakin yakin akan keesaan dan keagungan Allah, serta dapat pula menunaikan amal ibadat dengan sempurna sebagaimana yang diperintahkan.

Dalam masa yang sama, marilah juga kita membangunkan unsur dalaman kita, iaitu hati nurani, dengan zikirullah yang tidak putus-putus, baik beristigfar memohon keampunan Ilahi, rajin dan istiqamah membaca serta tadabur ayat-ayat suci Al-Quran, seterusnya banyak berselawat dan salam kepada penghulu kita Nabi Muhammad SAW. Firman Allah SWT dalam surah Al-Ghafir ayat 18-19, yang bermaksud, “Dan berilah amaran wahai Muhammad, kepada mereka tentang hari kiamat, yang dekat masa datangnya iaitu ketika hati seseorang merasa resah gelisah, kerana cemas takut, sambil masing-masing menahan perasaannya itu. Pada sangat itu orang-orang yang zalim tidak akan mendapat seorang sahabat pun yang boleh membelanya, dan tidak akan dapat pemberi syafaat yang diterima pertolongannya. Allah amat mengetahui pengkhianatan pandangan mata seseorang, serta amat mengetahui apa yang tersembunyi di dalam hati.”

Rasulullah SAW juga ada bersabda yang bermaksud, “Sesungguhnya Allah tidak memandang kepada rupa paras dan anggota lahir kamu, tetapi sesungguhnya Dia memandang kepada hati-hati kamu dan amalan-amalan kamu.” Mudah-mudahan Allah SWT sentiasa mendorong kita kepada kebaikan dan kebajikan, mengampunkan segala dosa dan kecuaian kita, menerima segala amal taat dan ibadah kita, dan memasukkan kita semua ke dalam syurgaNya dengan rahmat dan kasihan belasNya.

[Petikan khutbah Jumaat di Masjid UMT pada 19 Mei 2017]