Home » Berita Canselori » Memperkasakan Institusi Kejiranan

Rab Jun 20, 2018
Waktu
Subuh 5:33 am
Syuruk 6:56 am
Zohor 1:09 pm
Asar 4:36 pm
Maghrib 7:22 pm
Isyak 8:36 pm

Memperkasakan Institusi Kejiranan

Perkataan jiran bukanlah suatu yang asing dalam kehidupan kita. Sebagai manusia, kita perlu hidup dalam masyarakat dan secara tidak langsung ia bermakna kita mempunyai jiran tetangga. Telah tersebut dalam kitab “Mughni al-Muhtaj”, jiran bermaksud orang yang tinggal berdekatan dengan rumah atau tinggal setempat sama ada dari arah kiri, kanan, hadapan atau belakang sehingga 40 buah rumah dari setiap arah. Ini bermakna, setiap orang dari kita semua mempunyai jiran tetangga sepanjang kehidupan kita.

Ketahuilah wahai saudara-saudara sekalian, Islam menyuruh umatnya agar sentiasa menjalinkan hubungan yang baik dengan jiran dan sekali-kali tidak menyakiti mereka. Hal ini sejajar dengan sabda Rasulullah SAW yang tercatat dalam Sahih Bukhari yang bermaksud, “Barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka janganlah dia menyakiti jirannya.”

Semua yang mendengar khutbah pada hari ini mempunyai jiran. Saya mempunyai jiran, dan tuan-tuan juga mempunyai jiran. Namun, adakah jiran-jiran kita itu terselamat dari keburukan tangan-tangan kita? Adakah jiran-jiran kita terselamat dari bahana lidah kita? Adakah jiran-jiran kita merasa aman dari perbuatan buruk kita? Renungkanlah hadis Nabi yang dibaca sebentar tadi yang bermaksud, “Barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka janganlah dia menyakiti jirannya.” Dan sejauh manakah kita beramal dengan hadis tersebut?

Terdapat satu lagi hadis Rasulullah SAW yang dicatat oleh Imam Muslim dalam kitab sahihnya yang bermaksud, “Tidak masuk syurga, orang yang jirannya tidak merasa aman dari keburukan perilakunya.” Dalam hadis lain yang diriwayatkan oleh Ibnu Umar dan Saidatina Aisyah r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Sentiasa Jibril berpesan kepadaku untuk berbuat baik kepada jiran tetangga, sehingga aku menyangka bahawa tetangga itu boleh menerima harta pusaka.”

Maka dengarlah betul-betul wahai saudaraku akan hadis-hadis Rasulullah SAW yang dibacakan tadi, agar kita memahami bagaimana agama Islam memandang tinggi keharmonian dalam hidup berjiran, serta kita berazam untuk mengamalkannya dalam kehidupan kita. Ketahuilah apabila kita mula menerapkan adab-adab Islam dalam kehidupan berjiran, kehidupan kita akan dipenuhi dengan kedamaian dan keharmonian, serta yang paling penting, kehidupan kita akan diberkati Allah SWT. Sikap hidup bermuafakat akan timbul dan segala kemungkaran yang berlaku dalam kawasan kediaman akan dapat dibasmi dengan mudah. Kehidupan akan menjadi lebih selesa dan berkualiti. Ini semua adalah hasil dari adab-adab Islam dalam kejiranan yang telah kita terapkan dalam kehidupan.

Namun sebaliknya, jika kita mengabaikan adab-adab Islam dalam berjiran, maka kehidupan akan menjadi tidak tenang, keharmonian masyarakat akan terjejas, kita akan disisihkan dari masyarakat setempat serta sukar mendapat pertolongan tatkala berada dalam kesusahan.

Memandangkan institusi kejiranan ini diberi perhatian yang besar oleh agama kita, maka khatib ingin mengajak semua hadirin agar memperkasakan institusi kejiranan kita dengan menerapkan beberapa langkah berikut :-

Pertama : mengamalkan sikap bertegur-sapa dan memulakan pertemuan dengan memberi salam.

Kedua : menghormati jiran dengan menunjukkan muka yang ceria.

Ketiga : menghulurkan bantuan sekiranya jiran memerlukannya.

Keempat : mempunyai semangat gotong-royong dan prihatin terhadap suasana kejiranan.

Insha Allah sekiranya kita menerapkan langkah-langkah tersebut dalam kehidupan, kehidupan kita akan menjadi lebih berkualiti dan bermakna. Allah SWT berfirman dalam surah An-Nisa’ ayat 36 yang bermaksud, “Dan hendaklah kamu beribadah kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibubapa dan kaum kerabat dan anak-anak yatim dan orang-orang miskin dan jiran tetangga yang dekat dan jiran tetangga yang jauh dan rakan sejawat dan orang musafir yang terlantar dan juga hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong takabur dan membangga-banggakan diri.”

[Petikan khutbah Jumaat di Masjid UMT pada 30 Jun 2017]

Terjemahan / Translation / ترجمة / 翻译