Home » Berita Canselori » Membahagiakan Isteri

Isn Jun 18, 2018
Waktu
Subuh 5:33 am
Syuruk 6:56 am
Zohor 1:09 pm
Asar 4:36 pm
Maghrib 7:22 pm
Isyak 8:36 pm

Membahagiakan Isteri

Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud, “Yang terbaik dalam kalangan kamu ialah yang paling baik terhadap isteri dan keluarganya dan aku adalah yang terbaik antara kamu dalam melayani dan menggauli isteri dan keluarga dengan penuh kasih sayang dan ihsan.”

Allah SWT meletakkan amanah dan tanggungjawab ke atas suami menyara dan melindungi isteri, menjadi pemimpin, pendidik dan pembela. Firman Allah SWT dalam surah An-Nisa’ ayat 34 yang bermaksud, “Kaum lelaki adalah pemimpin bagi wanita, kerana Allah telah melebihkan orang lelaki atas wanita, dan juga kerana orang lelaki telah membelanjakan dari harta mereka. Maka wanita yang solehah itu ialah yang taat kepada Allah dan suaminya, dan yang memelihara dirinya ketika suami tidak hadir bersama dengan pemeliharaan Allah dan wanita-wanita yang kamu bimbang melakukan nusyuz hendaklah kamu menasihati mereka, dan pulaulah mereka di tempat tidur, dan pukullah mereka. Kemudian jika mereka taatkanmu maka janganlah kamu mencari jalan untuk menyusahkan mereka. Sesungguhnya Allah Maha Tinggi, lagi Maha Besar.”

Dalam ayat yang lain, iaitu ayat 19 surah An-Nisa’, Allah SWT telah berfirman yang bermaksud, “Dan bergaullah dengan mereka secara baik, kemudian jika kamu bencikan mereka, kerana mungkin kamu bencikan sesuatu, sedang Allah hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebaikan yang banyak untuk kamu.” Di antara maksud “Dan bergaullah dengan mereka secara baik” dalam ayat tersebut, ulama mentafsirkan iaitu –

Pertama : menjaga perasaan dan memuliakan isteri dengan panggilan dan sebutan yang melambangkan kasih sayang.

Kedua : mengucapkan salam ketika pulang sebagai doa dan jaminan membawa kesejahteraan kepada isteri.

Ketiga : memupuk kasih sayang dengan hadiah dan tutur bicara yang halus.

Keempat : tidak mencari keaiban atau mengungkit kesilapan isteri serta sentiasa memaafkan dan berlapang dada apabila terdapat sesuatu yang tidak sesuai dengan kehendak hati.

Demikianlah apa yang dimaksudkan dengan kepimpinan dan pergaulan yang baik suami terhadap isterinya. Jadi jelaslah bahawa seorang suami yang berpegang pada prinsip “membahagiakan isteri” adalah selari dengan tuntutan syarak.

Selain daripada tanggungjawab memimpin, melindungi dan menggauli isteri dengan penuh kemesraan, suami perlu membahagiakan isteri dengan memberi bimbingan agama. Suami yang menyayangi isterinya perlu memastikan isteri sentiasa patuh kepada syarak. Sebagai contoh, memastikannya menjaga dan menunaikan solat dengan sebaiknya. Firman Allah SWT dalam surah Taha ayat 132 yang bermaksud, “Dan perintahkanlah keluarga mu serta umat mu mengerjakan sembahyang, dan hendaklan engkau tekun bersabar menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki daripada mu, Kamilah yang memberi rezeki kepada mu. Dan kesudahan yang baik adalah bagi orang yang bertakwa.”

Bukan sahaja dalam aspek menunaikan tuntutan wajib, malah isteri perlu digalakkan mengamalkan amalan-amalan sunat. Suami yang berjaya membimbing isteri mentaati tuntutan agama, termasuk amalan-amalan sunat, dijamin mendapat rahmat Allah SWT. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Allah merahmati suami yang bangun di waktu malam lalu mengerjakan solat malam. Dia juga menggerakkan isterinya untuk sama bersolat, di mana jika isteri enggan, dia merenjiskan air ke muka isterinya supaya bangun bersolat.” (HR Ahmad)

Menyayangi dan membahagiakan isteri juga ialah dengan memastikannya tidak terlibat dalam perkara yang dilarang atau unsur-unsur yang boleh membawa kepada maksiat. Justeru, perlu ada perasaan cemburu yang sihat, agar isteri tidak mengambil mudah dalam pergaulan, tidak keluar rumah sewenang-wenangnya atau berkawan dengan mereka yang diragui perwatakannya.

Bagi mengelak isteri daripada merasa jemu dan terasing, hingga berfikir untuk mencari keselesaan di luar rumah, suami perlulah mencari jalan menggembirakan isteri seperti bergurau senda, berbual mesra dan mewujudkan suasana yang menyenangkan hatinya. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Apa sahaja yang menyebabkan seseorang itu leka, maka dia adalah batil, yakni melakukan perkara sia-sia, kecuali jika dia melatih kuda, berlatih memanah atau bergurau senda dengan isterinya.” (HR Tirmizi, Abu Daud, Hibban)

Satu lagi kaedah membahagiakan isteri ialah tenang dan sabar menangani karenah isteri yang dirasakan kurang menyenangkan. Jauhilah daripada memperbesarkan kesilapan remeh. Sebaliknya jika terdapat kesilapan atau kesalahan yang agak ketara perlu ditanggani dengan baik dan penuh psikologi. Ingatlah di sebalik kesilapan itu, terdapat banyak lagi kebaikan dan jasa isteri yang menyenangkan. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Tidak wajar seorang suami yang beriman itu membenci isteri yang beriman. Jika ada perangainya yang tidak disukai, masih ada lagi yang disenanginya.” (HR Muslim)

Akhirnya, ketahuilah bahawa matlamat perkahwinan ialah ketenangan, keharmonian dan kebahagiaan yang disuburkan oleh perasaan kasih sayang, mawaddah dan rahmat. Di samping itu, berdasarkan maksud sebuah hadis, isteri dihalalkan kepada suami adalah dengan izin dan amanah Allah. Justeru, sebagai suami yang merupakan nakhoda dan tiang seri rumahtangga, perlu bertanggungjawab penuh memikul amanah membahagiakan isteri. Dengan proses itu, isteri terpanggil dengan penuh kerelaan, untuk bersama menyemarakkan kebahagiaan, keamanan dan keharmonian rumahtangga penuh kasih dan sayang.

[Petikan khutbah Jumaat di Masjid UMT pada 27 Oktober 2017]

Terjemahan / Translation / ترجمة / 翻译