Menghargai Kelestarian Alam

Alhamdulillah, kini kita berada di alam yang penuh keindahan dan keunikan. Kepelbagaian tumbuh-tumbuhan yang melata di alam ini telah menjadikan alam begitu menakjubkan. Begitu juga dengan kepelbagaian jenis binatang yang telah menjadikan alam terlalu menarik untuk dihuni. Kesemuanya ini mencerminkan kebesaran dan ketelitian penciptaannya. Ketahuilah bahawa tumbuh-tumbuhan yang wujud di alam ini menjadi penyebab untuk manusia dan haiwan terus hidup sehingga kini. Ini adalah kerana tumbuh-tumbuhan yang diwujudkan oleh Allah bertindak sebagai pembekal oksigen kepada kita semua.

Sebenarnya, kepentingan tumbuh-tumbuhan ini telah dinyatakan dalam Al-Quran, surah Al-An’am ayat 99 yang bermaksud, “Dan Dialah yang menurunkan hujan dari langit, lalu Kami tumbuhkan dengan air hujan itu segala jenis tumbuh-tumbuhan, kemudian Kami keluarkan daripadanya tanaman yang menghijau, Kami keluarkan pula dari tanaman itu buah yang bergugus-gugus dan dari pohon-pohon tamar, dari mayang-mayangnya Kami keluarkan tandan-tandan buah yang mudah dicapai dan dipetik dan Kami jadikan kebun-kebun dari anggur dan zaitun serta buah delima, yang bersamaan bentuk, rupa dan rasanya dan yang tidak bersamaan. Perhatikanlah kamu kepada buahnya, apabila ia berbuah dan ketika masaknya. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda-tanda yang menunjukkan kekuasaan Kami bagi orang-orang yang beriman.”

Menerusi ayat tersebut, Allah telah menjelaskan kepada kita bahawa kepelbagaian tumbuh-tumbuhan telah menjadikan tanda atau dalil kepada golongan yang beriman. Secara tidak langsung hujah tersebut menjadikan manusia lebih mendekatkan diri kepada Allah.

Ketahuilah bahawa alam yang indah ini memberi banyak manfaat kepada makhluk yang hidup mahupun yang telah mati. Bagi yang hidup, manfaatnya amat jelas sebagai dalil kewujudan Allah. Seterusnya menjadikan manusia mengabdikan diri kepada Allah di samping mencari habuan dunia sebagai bekalan untuk akhirat. Manakala bagi yang telah mati, bumi ini telah menjadikan tanahnya terus subur untuk makhluk-makhluk lain meneruskan kesinambungan kehidupan. Kesemuanya itu telah membuktikan tentang kekuasaan Allah ke atas segala-galanya.

Sedarlah wahai manusia, semua makhluk yang diciptakan amat patuh dan tunduk dengan perintah Allah. Perkara ini terbukti bila mana kesemua ketetapan Allah terhadap alam, telah bergerak sebagaimana yang diaturkan olehnya. Sebagai contoh, kandungan udara yang berlegar di udara telah ditetapkan kadarnya oleh Allah. Begitu juga dengan kepanasan matahari menyinari kita, telah ditetapkan jarak kejauhannya dengan bumi. Kesemuanya ini ditentukan oleh Allah dengan kadar tertentu sebagaimana firman Allah dalam surah Al-Qamar ayat 49 yang bermaksud, “Sesungguhnya Kami menciptakan tiap-tiap sesuatu menurut takdir yang telah ditentukan.”

Setelah kita meneliti kebesaran Allah tersebut, wajar kita meninjau peranan yang perlu dilakukan oleh manusia untuk mengimarahkan alam ini. Bersesuaian dengan tanggungjawab sebagai khalifah yang dibekalkan dengan akal fikiran oleh Allah, apatah lagi kejadian kita pula merupakan sebaik-baik kejadian, sebagaimana yang dinyatakan dalam surah At-Tin ayat 4 yang bermaksud, “Sesungguhnya Kami telah jadikan manusia dengan sebaik-baik kejadian.”

Dengan peringatan tersebut, sewajarnya manusia berfikir dalam memastikan kelestarian alam terus terpelihara dengan sewajarnya. Dalam kesempatan ini, sukacita ditekankan beberapa pendekatan dalam memastkan kelestarian alam terus terjaga dengan sempurna.

Pertama : Mensyukuri anugerah alam sebagai antara nikmat terbesar, dengan membangunkan potensi alam sejajar dengan tanggungjawab sosial. Dengan ini, adalah tidak wajar sekiranya sesuatu binaan didirikan tanpa kelulusan pihak Jabatan Alam Sekitar, yang mengambilkira aspek pemuliharaan alam sekitar.

Kedua : Setiap individu perlu memahami bahawa penjagaan alam juga merupakan tuntutan agama. Maka menjadi satu dosa bagi mereka yang meremehkan penjagaannya. Ini adalah kerana setiap perilaku kita akan dihisab oleh Allah. Dengan yang demikian, setiap tindakan kita terhadap alam mestilah menekankan tentang akhlak dan moral seperti tidak membuang sisa kotoran di tempat yang tidak sewajarnya.

Ketiga : Memberi hal alam dengan tidak mencemari kelestariannya, seperti mengurangkan pembakaran terbuka bagi mengelak kekurangan kadar oksigen. Begitu juga penekanan terhadap pengharaman rokok, bagi mengelakkan manusia menjadi penyumbang kepada pencemaran udara yang mampu mengancam nyawa manusia.

Keempat : Menjaga kebersihan air, terutamanya air tawar yang digunakan untuk minum, bersuci, mengairi tanaman dan seumpamanya. Oleh sebab itu, terdapat larangan jelas dari Rasulullah SAW sebagaimana sabdanya yang bermaksud, “Janganlah ada dalam kalangan kamu yang membuang air kecil di dalam air yang bertakung, kemudian air tersebut digunakan untuk mandi.” (HR Muslim)

Sebagai kesimpulannya, marilah kita bersama-sama mempamerkan akhlak dan budi pekerti yang luhur dalam memastikan kelestarian alam terus terpelihara. Ketahuilah bahawa alam merupakan amanah Allah kepada kita. Amanah ini wajar digalas semampu mungkin. Buktikan kepada dunia bahawa umat Islam bukan hanya menekankan soal-soal peribadatan semata-mata. Sebaliknya urusan dunia turut menjadi keutamaan dalam mencari keredhaan Allah.

[Petikan khutbah Jumaat di Masjid UMT pada 4 Ogos 2017]