UMT dan UiTM Cawangan Terengganu Akan Teruskan Semangat Commonality & Collegiality

KUALA NERUS, 29 Okt. – UMT dan UiTM Cawangan Terengganu akan meneruskan semangat ‘Commonality and Collegiality’ melalui hubungan kerjasama strategik dalam bidang pengajaran dan pembelajaran serta penyelidikan seperti pelaksanaan ijazah berkembar (double degree) dalam bidang yang bersesuaian.

Hal ini dinyatakan oleh Naib Canselor UMT, Prof. Dato’ Dr. Nor Aieni Moktar selepas menerima kunjungan hormat Rektor UiTM Cawangan Terengganu, Prof. Madya Dr. Abdol Samad Nawi di Dewan Senat UMT pada hari ini. Beliau berkata, antara program ijazah berkembar yang boleh dilaksanakan ialah dalam bidang perakaunan, pemakanan, pemasaran, matematik dan pembinaan kapal kerana kedua-dua universiti mempunyai kepakaran dalam bidang-bidang tersebut.

Selain itu, kedua-dua pihak juga akan melaksanakan program mobiliti pelajar dan pertukaran pelajar berkredit bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan masing-masing. Malah program pemindahan ilmu secara bersama juga akan dilaksanakan terutamanya untuk faedah komuniti di negeri Terengganu.