Home » Berita Canselori » Karam Di Lautan Kesesatan

Rab Jun 20, 2018
Waktu
Subuh 5:33 am
Syuruk 6:56 am
Zohor 1:09 pm
Asar 4:36 pm
Maghrib 7:22 pm
Isyak 8:36 pm

Karam Di Lautan Kesesatan

Kita sangat bersyukur melihat perkembangan dakwah Islam akhir-akhir ini cukup mengembirakan, sama ada melalui pelbagai aktiviti keagamaan, kuliah-kuliah agama, ceramah dan tazkirah di seluruh masjid dan surau, TV, radio, youtube dan seluruh medium dakwah yang lain. Namun demikian, kita juga perlu berwaspada dan berhati-hati dengan kemunculan berbagai aliran sesat dan menyesatkan yang menyerap masuk ke dalam ajaran Islam kita ini. Para salafus salih menasihatkan dengan berkata, “Sesungguhnya ilmu ini adalah perkara penting untuk memahami agama, maka telitilah dari mana kamu mendapatkan pemahaman agama kamu itu.”

Dalam usaha pihak berkuasa untuk membangunkan kekuatan umat dan menyebarluaskan dakwah agama, kita amat dukacita, apabila masih terdapat golongan masyarakat yang cuba menimbulkan kekeliruan terhadap kebenaran syariat Islam dengan membawa dan memperkenalkan kepada masyarakat, ajaran-ajaran yang menyeleweng dari akidah Islam.

Ajaran yang menyeleweng dan sesat bukanlah perkara baru dalam agama Islam, malahan dalam sirah, baginda Rasulullah SAW pernah mendedahkan bahawa golongan yang sesat adalah daripada kaum yahudi dan nasrani. Bahkan terdapat juga golongan daripada umat Islam yang sesat sehingga 72 golongan yang akan masuk ke neraka dan satu golongan lagi akan masuk ke syurga. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Sesungguhnya umat ini akan berpecah-belah menjadi 73 golongan, adapun yang 72 akan masuk neraka dan yang stu golongan akan masuk syurga, iaitu Al-Jamaah.” Baginda Rasulullah juga turut mendedahkan bahawa terdapat dua golongan sesat yang terkeluar dari ajaran Islam pada zaman baginda iaitu golongan qadariah dan murjiah.

Begitu juga di negara kita ini, ajaran dan amalan sesat bukanlah satu perkara baru kerana ajaran serta amalan sesat mula bertapak sejak lama dahulu melalui pengaruh agama hindu dan kepercayaan kepada makhluk halus. Ajaran dan amalan sesat ini terus menyerap secara halus dalam kehidupan masyarakat melayu tanpa disedari. Ajaran dan amalan yang tidak berteraskan sumber AlQuran dan hadith itu terus meresapi dalam masyarakat Islam di negara ini dengan memperalatkan ayat-ayat AlQuran serta berselindung di sebalik kesucian agama Islam.

Menurut Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), punca utama ajaran sesat adalah kerana tersebarnya secara meluas buku-buku berunsur ajaran yang menyeleweng dan meragukan. Perkembangan terkini, didapati ada di kalangan individu yang cuba menonjolkan diri sebagai orang arif dalam ilmu perubatan Islam dan agama, semata-mata untuk kepentingan peribadi dengan gelaran-gelaran tertentu.

Walaupun penglibatan ajaran sesat memberi kesan kepada akidah seseorang, namun ramai di kalangan umat Islam yang masih tetap melibatkan diri dengan ajaran sesat. Ini kerana golongan pengamal ajaran sesat kerap menggunakan beberapa teknik sebagai umpan untuk mendapatkan pengaruh dalam kalangan masyarakat. Antaranya janji-janji jaminan yang mendorong dan merangsang seseorang itu percaya serta terpengaruh seperti jaminan mendatangkan manfaat kesenangan hidup di dunia dan akhirat.

Manfaat kesenangan hidup di akhirat dikaitkan dengan balasan syurga, manakala kesenangan di dunia pula dikaitkan dengan kesenangan harta-benda, wang, pangkat dan kemudahan mengamalkan ibadah seperti tidak perlu solat, tidak perlu berpuasa, tidak perlu zakat serta tidak perlu mengerjakan haji. Apa yang membimbangkan adalah sikap ketua ajaran sesat yang menanam kepercayaan para pengikutnya supaya berfikiran fanatik, taksub serta skstrim dengan mengagungkan dan hanya ketua mereka sahaja yang betul dan benar. Kesannya, ini boleh menyebabkan mereka sukar untuk meninggalkan sesuatu ajaran sesat tersebut kerana takut dianggap derhaka serta bimbang sesuatu keburukan akan menimpa mereka.

Menurut laporan JAKIM, sejak tahun 1950 sehingga kini, sebanyak 99 ajaran telah difatwakan sebagai sesat di seluruh Malaysia meliputi pelbagai bentuk, sama ada sesat melalui aliran pemikiran, amalan perbuatan, khurafat, ajaran batiniah serta ajaran yang di luar dari amalan Ahli Sunnah wal Jamaah.

Perkembangan terkini dapat kita lihat bahawa ajaran yang menyeleweng bukan sahaja mereka ingin memesongkan akidah umat Islam, tetapi mereka cuba menjurus kepada tindakan melampau yang di luar batasan undang-undang. Keadaan tersebut bukan sahaja mampu mengganggu-gugat keharmonian institusi keluarga, perpaduan di kalangan umat Islam dan kesepaduan masyarakat pelbagai kaum dalam negara ini, malahan berupaya mengancam keselamatan negara apabilan tindakan mereka melebihi batasan undang-undang dan hukum syarak. Secara ringkasnya, terdapat beberapa contoh ciri-ciri ajaran sesat untuk perhatian semua. Antara ciri-cirinya ialah :-

  • Mengaku dirinya sebagai tuhan
  • Mengaku dirinya sebagai rasul dan mendakwa ada menerima wahyu
  • Mengakui dirinya atau gurunya sebagai Imam Mahdi
  • Mendakwa bahawa pengikut-pengikut ajarannya sahaja akan masuk syurga
  • Mendakwa gurunya boleh menebus dosa dengan wang
  • Memohon kepada benda-benda tertentu seperti batu, cincin dan sebagainya untuk sampai kepada tuhan
  • Melakukan penyerahan rohani dan jasmani kepada guru melalui nikah batin dengan tujuan mendapatkan anak soleh
  • Mengaku Allah menjelma dalam dirinya
  • Mendakwa ajaran dan tarekat yang diamalkan diambil terus dari Rasulullah SAWA secara jaga atau sedar
  • Membatalkan atau memansuhkan syariat-syariat Islam seperti solat, puasa, zakat, haji dan membuat syariat baru

Ini adalah sebagaimana daripada contoh ciri-ciri kesesatan dan penyelewengan yang berlaku dalam masyarakat boleh merosakkan akidah dan pegangan sebagai seorang muslim. Oleh itu, umat Islam perlu menghayati beberapa perkara sebagai panduan dan pedoman bersama :-

  • Seluruh umat Islam hendaklah berhati-hati dengan pelbagai bentuk penyebaran ajaran sesat yang boleh memesongkan akidah.
  • Mana-mana aliran pemikiran yang bertentangan dengan prinsip akidah Ahli Sunnah wal Jamaah boleh menjadikan seseorang itu sesat dan terkeluar daripada agama Islam.
  • Jika terdapat keraguan terhadap sesuatu pengajaran, maka hendakah segera merujuk kepada pihak berkuasa agama untuk mendapatkan kesahihan.
  • Umat Islam hendaklah tidak berpengaruh dengan pemikiran dan pegangan yang melampau kerana ia membawa kepada perpecahan dalam negara.
  • Seluruh umat Islam perlu bersatu dan bergabung dalam usaha untuk menangkis dan menyalurkan aduan kepada pihak berkuasa jika terdapat sebarang ajaran yang menyeleweng dan sesat.

[Petikan khutbah Jumaat di Masjid UMT pada 7 Julai 2017]

Terjemahan / Translation / ترجمة / 翻译