Home » Berita Canselori » Berhati-hati Dalam Keghairahan Umrah

Rab Jun 20, 2018
Waktu
Subuh 5:33 am
Syuruk 6:56 am
Zohor 1:09 pm
Asar 4:36 pm
Maghrib 7:22 pm
Isyak 8:36 pm

Berhati-hati Dalam Keghairahan Umrah

Alhamdulillah, semenjak akhir-akhir ini, semakin ramai umat Islam memperuntukkan kewangan mereka untuk mengerjakan umrah. Keadaan ini mungkin disebabkan kuota haji yang telah dihadkan oleh Kerajaan Arab Saudi dengan menetapkan hanya 1% sahaja daripada jumlah keseluruhan penduduk sesebuah negara umat Islam boleh mengerjakan fardu haji pada tahun berkenaan. Kesan daripada itu, ibadah umrah menjadi popular dalam kalangan umat Islam, tidak terkecuali umat Islam di Malaysia.

Ibadah umrah dikategorikan dalam ibadah perbuatan atau manasik, sama seperti ibadah haji. Pensyariatan tersebut telah dinyatakan dalam AlQuran sebagaimana pensyariatan ibadah haji. Firman Allah SWT dalam surah Al-Baqarah ayat 196 yang bermaksud, “Dan sempurnakanlah ibadah haji dan umrah kerana Allah, maka sekiranya kamu di kampong dan di halang daripada menyempurnakannya ketika kamu sudah berihram, maka kamu bolehlah bertahalul serta sembelihlah binatang dam yang mudah didapati dan janganlah kamu mencukur kepala kamu untuk bertahalul sebelum binatang dam itu sampai dan disembelih ditempatnya..”

Ayat ini menjelaskan kepada kita bahawa ibadah umrah juga merupakan satu tuntutan syarak, sebagaimana ibadah haji. Dalam pada itu, keghairahan untuk mengerjakan umrah turut dikuatkan lagi dengan sabda Rasulullah SAW tentang fadilat yang amat besar, apabila menunaikan solat di kedua-dua masjid utama dunia iaitu Masjidil Haram di Mekah dan Masjid Nabawi di Madinah. Sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Jabir bin Abdullah r.a. yang bermaksud, “Solat di masjid ku ini lebih 1000 kali fadilatnya, jika dibandingkan dengan solat di masjid yang lain, kecuali di Masjidil Haram. Ini adalah kerana solat di Masjidil Haram fadilatnya, ialah 100,000 kali ganda, jika dibandingkan dengan solat di masjid yang lain.” (Riwayat Imam Bukhari). Daripada hadis tersebut, sedikit sebanyak telah menjadikan umat Islam begitu terpanggil untuk mengunjungi tanah suci tersebut. Apatah lagi dengan fenomena semasa di tanah air masing-masing yang kurang tarikan untuk mengerjakan ibadah.

Meskipun masjid-masjid dan surau-surau telah banyak didirikan, bahkan boleh dikatakan setiap kampung mempunyai masjid dan surau. Namun begitu, pengunjungnya masih lagi berkurang. Kalangan yang berkunjung ke pasaraya atau pasar malam jauh lebih ramai jika dibandingkan dengan pengunjung masjid untuk menunaikan solat fardu berjemaah.

Kita perhatikan bahawa pilihan yang paling bersesuaian untuk keluar seketika daripada mengejar dunia ialah mengerjakan umrah di tanah suci. Fenomena ini sebenarnya merupakan salah satu usaha dalam mencari lonjakan beribadah sekembalinya nanti ke tanah air tercinta. Namun begitu perlu diingatkan, dalam kita teruja dan ghairah untuk mengerjakan ibadah umrah, sikap berhati-hati perlu ada agar tidak terjebak dengan golongan yang mengambil kesempatan di atas keghairahan kita. Umumnya menyangka adalah tidak munasabah umat Islam yang beriman tergamak untuk melakukan penipuan terutamanya dalam soal ibadah.

Namun begitu baru-baru ini, kita dikejutkan dengan ribuan bakal tetamu Allah yang terpaksa melupakan hasrat mereka untuk mengerjakan umrah pada tahun lalu, kerana terpedaya dengan tawaran pakej yang terlalu murah dan tidak munasabah. Siapa yang tidak teruja sekiranya tawaran tersebut adalah separuh daripada harga biasa. Sebahagian daripada masyarakat kita, sering kali terpedaya apabila pakej murah ditawarkan, tanpa merujuk terlebih dahulu kepada pihak yang berwajib tentang kewajaran pakej tersebut.

Perlu diingatkan bahawa ruang untuk penipuan sentiasa terbuka luas walaupun dalam aspek ibadah. Ini adalah kerana, dalam urusan ibadah umat Islam tidak akan berkira dan sedia melakukan apa sahaja asalkan diredhai oleh Allah. Secara umumnya, kita semua mengetahui bahawa Iblis tidak akan leka untuk memastikan umat Islam terjerumus bersama-sama mereka ke dalam neraka. Oleh itu, sikap berhati-hati amat penting bagi mengelakkan diri dan keluarga kita terpedaya dengan promosi-promosi yang mempersona.

Dalam kesempatan ini, masyarakat diingatkan agar sentiasa berwaspada dan berhati-hati dalam keghairahan melaksanakan ibadah umrah di tanah suci –

Pertama : Persiapkan ilmu pengetahuan tentang ibadah umrah terlebih umrah terlebih dahulu sebelum berangkat ke tanah suci.

Kedua : Pastikan syarikat yang mengendalikan umrah tersebut berdaftar dengan pihak berwajib seperti Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) dan Kementerian Pelancongan.

Ketiga : sentiasa peka dengan kenyataan-kenyataan rasmi atau garis panduan yang dikeluarkan oleh pihak Kerajaan Malaysia dan juga Kerajaan Arab Saudi.

Keempat : semak terlebih dahulu nama anda atau mana-mana individu yang dalam jagaan anda dengan Jabatan Imigresen Malaysia. Hal ini bagi memastikan tiada sebarang sekatan untuk keluar negara seperti masih dalam pengisytiharan muflis, gagal membayar cukai pendapatan, pinjaman PTPTN dan sebagainya.

Kelima : Elakkan berpesan kepada bakal tetamu Allah sesuatu yang sukar dilakukan atau menghilangkan fokus ibadah seperti membawa pulang air zam-zam, buah-buahan, pakaian dan sebagainya.

[Petikan khutbah Jumaat di Masjid UMT pada 27 Januari 2017]

Terjemahan / Translation / ترجمة / 翻译