CANSELORI

UNIVERSITI MALAYSIA TERENGGANU

Staf UMT Menyumbang RM1 juta Sebagai Wakaf Ilmu

KUALA TERENGGANU, 17 Nov – Staf UMT telah menyumbang RM1.0 juta kepada MAIDAM menerusi program Wakaf Ilmu UMT. Sumbangan ini disampaikan oleh Naib Canselor UMT, Prof. Dato’ Dr. Nor Aieni Mokhtar kepada Yang DiPertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), Dato’ Haji Shaikh Harun Shaikh Ismail dalam Majlis Santapan Malam sempena Majlis Konvokesyen Ke-15 UMT yang diadakan di Pusat Konvensyen Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu. Penyerahan sumbangan ini disaksikan oleh Canselor UMT, Sultanah Nur Zahirah.

Turut berangkat ke majlis ini adalah Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin. Selain itu, turut hadir adalah Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Haji Ahmad Razif Abdul Rahman; Pro Canselor UMT, Tan Sri Samsudin Osman dan Pengerusi Lembaga Pengarah UMT, Dato’ Mohamed Azlan Hashim.

Dalam majlis tersebut juga, Canselor UMT telah berkenan melancarkan buku Ikan Lut Sinar (Transparent Fish) yang diterjemahkan oleh Prof. Dr. Mazlan Abd. Ghaffar dan Dr. Seah Ying Giat. Buku ini merupakan buku pertama Taiwan yang menggunakan cara lut sinar untuk mempamerkan dunia ikan. Teknik perwarnaan rangka tulang lut sinar lebih mudah untuk membezakan tulang rawan dan tulang sebenar. Malah menerusi kaedah pelutsinaran, lokasi rangka tulang di kedudukan tertentu dapat diperhatikan secara tepat.

Selain itu, Canselor UMT juga telah berkenan menerima Endowed Reader in Finance yang berjumlah RM150 ribu yang disumbangkan oleh RHB Islamic Bank Berhad. Majlis santapan malam turut diserikan dengan persembahan muzikal yang dikendalikan oleh Pusat Kebudayaan dan Kesenian UMT.