Dalam majlis itu, Canselor UMT telah menyampaikan Ijazah Kehormat Doktor Sains kepada empat penerima iaitu Prof. Datuk Ir. Dr. Abu Bakar Jaafar, Dr. Mazlan Madon, Prof. Dr. Paul John Layzell dan Prof. Dr. Stephen John Cluver. Selain itu, Canselor UMT turut menyampaikan Anugerah Pelajaran Diraja kepada Muhammad Asyraf Afif Ramli, graduan Sarjana Muda Kaunseling dan Malvindran A/L Ravie, graduan Sarjana Muda Sains (Sains Nautika dan Pengangkutan Maritim). Anugerah Pingat Emas Canselor pula diterima oleh Mohammad Fazwan Arif Mohd. Azni, graduan Sarjana Muda Sains Agrotekologi (Akuakultur).

Canselor UMT turut menyampaikan Anugerah Pro Canselor kepada Dr. Chai Mui Nyuik (Bidang Sains) dan Dr. Mat Rahimi Yusof (Bidang Sains Sosial) serta Anugerah Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti kepada Noor Fadilah Yusof (Bidang Sains) dan Mohammad Khairuddin Othman (Bidang Sains Sosial).

UMT turut mengadakan Pesta Konvokesyen di Dataran Konvo selama empat hari bermula kelmarin dengan pelbagai aktiviti menarik seperti forum perdana, malam puisi Rohingya, konsert, sukan dan gerai jualan.