CANSELORI

UNIVERSITI MALAYSIA TERENGGANU

Duta USA Melawat UMT

Kuala Nerus, 1 Okt – Duta Amerika Syarikat ke Malaysia, Miss Kamala Shirin Lakhdir telah mengadakan lawatan ke UMT pada hari Khamis yang lalu. Dalam sesi pertemuan yang ringkas dengan pelajar UMT di Dewan Senat UMT, beliau menyatakan bahawa pelajar Malaysia sentiasa dipelawa untuk melanjutkan pengajian mereka ke Amerika Syarikat. Peluang ini sentiasa terbuka dan pihak Kerajaan Amerika Syarikat ada menyediakan beberapa biasiswa untuk pelajar yang berkelayakan. Selain itu, beliau turut memandang serius isu penguasaan Bahasa Inggeris di kalangan pelajar Malaysia terutamanya pelajar negeri Terengganu.

“Saya mendapati pelajar negeri Terengganu sangat bijak dan berjaya dalam peperiksaan. Mereka mendapat markah yang baik untuk subjek Bahasa Inggeris namun mereka masih lemah untuk berkomunikasi dengan fasih. Pelajar juga perlu merantau ke luar negara dan melihat dunia lain. Ini akan memberikan perspektif yang baru dalam kehidupan dan dapat membantu mengubah minda pelajar ke arah yang lebih baik,” ujar Kamala Shirin Lakhdir dalam pertemuan beliau dengan pelajar UMT. Turut hadir dalam pertemuan tersebut ialah Naib Canselor UMT, Prof. Dato’ Dr. Nor Aieni Mokhtar dan pegawai-pegawai UMT.

“Kerajaan Amerika Syarikat amat menggalakkan universiti awam di Malaysia seperti UMT untuk mengadakan hubungan kerjasama dengan agensi dan universiti di USA terutamanya dalam isu pemuliharaan alam sekitar, pelancongan, pertukaran budaya dan bio-teknologi. Kerjasama ini amat penting bagi memastikan hubungan baik antara Kerajaan Malaysia dan Amerika Syarikat sentiasa terjalin,” ujar beliau lagi kepada pelajar UMT.