CANSELORI

UNIVERSITI MALAYSIA TERENGGANU

Ke Manakah Hala Tuju Universiti Sekarang?

Kuala Nerus, 28 Sept – Universiti merupakan sebuah tempat pembelajaran yang sentiasa meneroka ilmu-ilmu baharu dan menyampaikan ilmu kepada masyarakat agar menjadi bangsa yang beradab dan bertamadun. Perkataan “universiti” yang berasal daripada perkataan latin (universitas) mula digunakan pada tahun 1088 apabila tertubuhnya University of Bologna di Itali. Namun konsep pembelajaran berciri sebuah universiti telah lama diamalkan oleh University Al Karaouine di Fez, Maghribi sejak tahun 859 dan ia merupakan universiti tertua di dunia.

“Universiti harus mempunyai hala tuju yang jelas dan tidak dipengaruhi oleh mana-mana pihak. Sejarah telah menunjukkan evolusi universiti daripada sebuah universiti yang berteraskan hikmah kepada sebuah universiti yang berfokus kepada kehendak pasaran atau industri. Cabaran Revolusi Industri 4.0 perlu dihadapi dengan bijaksana kerana ia mungkin mengubah fungsi asal universiti dalam melahirkan pelajar yang seimbang dan sejahtera,” kata Prof. Tan Sri Dr. Dzulkifli Abdul Razak dalam program Wacana Kepimpinan : Qalb Leadership di Auditorium Mahyuddin UMT, pagi tadi. Turut hadir dalam adalah Naib Canselor UMT, Prof. Dato’ Dr. Nor Aieni Mokhtar dan pegawai-pegawai kanan UMT.

“Falsafah pendidikan negara adalah untuk melahirkan pelajar yang seimbang dan harmonis dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek agar dapat membentuk masyarakat yang sejahtera dan bertamadun. Namun, faktor persekitaran semasa telah menyebabkan berlaku ketidakseimbangan dalam proses pembelajaran. Sebagai contoh, pendidikan seharusnya membentuk insan berhikmah tetapi telah gagal dan akhirnya membentuk insan yang korup. Sebab itu, pendidikan seharusnya membentuk hati yang sejahtera kerana hati yang sejahtera dan adil akan melahirkan keseimbangan dalam tingkahlaku individu,” jelas beliau lagi dalam wacana tersebut.