CANSELORI

UNIVERSITI MALAYSIA TERENGGANU

UMT Catat Peningkatan 11.9% Pelajar Baharu

Kuala Nerus, 5 Sept – Pendaftaran pelajar baharu UMT bagi sesi September 2017/2018 yang berlangsung di Dewan Sultan Mizan UMT pada hari ini mencatatkan peningkatan sebanyak 11.9% berbanding tahun 2016. Bagi semester ini, UMT telah menawarkan 2,782 surat tawaran kepada pelajar berbanding 2,485 tawaran yang dikeluarkan pada tahun 2016.

UMT menawarkan 27 program pengajian di peringkat ijazah sarjana muda iaitu 76% dalam bidang sains dan 24% dalam bidang sains sosial. Daripada penawaran tersebut juga, 75.74% adalah pelajar perempuan manakala pelajar lelaki hanya 24.26% sahaja. Setelah mendaftar, pelajar akan mengikut program Minggu Jalinan Mesra selama empat hari yang diisi dengan sesi taklimat dan penerangan mengenai program akademik dan kehidupan sebagai mahasiswa di UMT.

Bagi pelajar yang kurang berkemampuan, UMT menyediakan bantuan kebajikan yang akan disalurkan melalui program MyEhsan. Pelajar yang layak dan menepati kriteria akan menerima bantuan dalam bentuk pembiayaan yuran pengajian, wang saku dan lain-lain. Sumber kewangan adalah daripada Tabung Kebajikan Pelajar UMT.