CANSELORI

UNIVERSITI MALAYSIA TERENGGANU

Program ONBOARDING Bersama Lembaga Pengarah UMT

Kuala Nerus, 6 Ogos – Ahli-ahli Lembaga Pengarah UMT telah mengikuti Program Onboarding ke Stesen Penyelidikan Penyu UMT di Chagar Hutang Pulau Redang dan Stesen Penyelidikan Marin UMT di Pulau Bidong. Program sehari ini dianjurkan oleh Pejabat Pendaftar UMT bagi memberikan pendedahan kepada Ahli-ahli Lembaga Pengarah UMT mengenai aktiviti penyelidikan yang dilaksanakan oleh UMT di stesen-stesen penyelidikan berkenaan. Turut hadir mengikuti program ini ialah Dato’ Mohamad Azlan Hashim, Pengerusi LPU UMT dan Prof. Dato’ Dr. Nor Aieni Mokhtar, Naib Canselor UMT.

Di Stesen Penyelidikan Penyu, Chagar Hutang Pulau Redang, Dr. Mohd Uzair Rusli telah menyampaikan sesi taklimat mengenai aktiviti penyelidikan penyu yang dilaksanakan di stesen tersebut bersama-sama dengan pelajar dan sukarelawan. Beliau turut menyatakan beberapa ekor penyu yang telah menetas pada tahun 1994 di Chagar Hutang telah mendarat semula ke kawasan tersebut untuk menetas. Ini menunjukkan bahawa kawasan Chagar Hutang merupakan tempat penetasan yang terpelihara dan amat sesuai untuk penyu. Ahli-ahli Lembaga Pengarah UMT turut melepaskan beberapa ekor anak penyu serta menurunkan tandatangan ikrar janji untuk memulihara penyu.

Seterusnya, Ahli-ahli Lembaga Pengarah UMT telah dibawa ke Stesen Penyelidikan Marin UMT di Pulau Bidong. Di sana, Prof. Madya Dr. Mohammad Fadhi Ahmad dan Dr. Hasrizal Shaari telah menyampaikan taklimat mengenai infrastruktur dan aktiviti penyelidikan yang dilaksanakan oleh penyelidik UMT di stesen berkenaan. Menurut Dr. Hasrizal, aktiviti flagship UMT iaitu Program Survival Laut dan Penghayatan Warisan untuk para pelajar UMT dilaksanakan di stesen berkenaan dan antara aktiviti air yang dibuat ialah ‘water confident’ dan menyelam.