Home » Khutbah Jumaat » Memperkasakan Syiar Agama

Thu Sep 21, 2017
Waktu
Subuh 5:42 am
Syuruk 6:57 am
Zohor 1:01 pm
Asar 4:09 pm
Maghrib 7:04 pm
Isyak 8:11 pm

Memperkasakan Syiar Agama

Bertakwalah saudara kepada Allah serta berpegang teguh kepada Islam dan zahirkan syiar-syiar agama sama ada melalui amalan mahupun sunnah, sebagai bukti kepada diri sendiri, kepada Allah dan seluruh manusia, bahawa saudara sangat prihatin dan mendahulukan ketundukkan kepada Allah s.w.t.

Adalah suatu yang sangat wajar dan diterima oleh pemikiran yang sihat, bahawa kembali kepada kebenaran atau hak, adalah suatu tindakan yang mulia dan bermaruah. Sesungguhnya sangat tepat langkah seseorang yang memilih untuk kembali kepada kebenaran dan bermuhasabah terhadap kelekaan dan pengabaian ajaran Islam yang sebenar. Ini adalah sesuai dengan kata-kata Saidina Umar al-Khatab r.a. yang bermaksud, “Hisab dan periksalah (dengan mendalam dan serius) terhadap (kecuaian dan kealpaan) yang dilakukan oleh kamu sebelum kamu dihisab dan diperiksa (oleh Allah pada hari kiamat).”

Bermuhasabah adalah suatu proses yang sangat wajar, kerana kesilapan dan kealpaan adalah sifat manusia dan jalan keluarnya ialah bertaubat setelah bermuhasabah. Sabda Nabi Muhammad s.a.w. yang bermaksud, “Setiap anak Adam sering melakukan kesalahan. Sebaik-baik orang yang melakukan kesalahan ialah orang yang bertaubat.” (HR At-Tarmizi)

Ada masanya anda pergi ke masjid untuk solat maghrib berjemah agak lewat. Biasanya dalam perjalanan ke masjid ketika ini, anda melihat ramai sahabat-sahabat Islam kita, sedang dalam perjalanan pulang ke rumah dan ramai juga kelihatan yang sedang bergerak atau memandu kereta tetapi bukan ke masjid, mereka mungkin menuju ke bandar atau ke pusat membeli-belah. Ada masanya anda melalui pusat membeli-belah, di waktu yang sama, mendapati ramai sahabat-sahabat Islam sedang memasuki pusat-pusat tersebut, atau baru keluar dengan gaya santai. Anda tidak menuduh mereka meninggalkan solat maghrib, tetapi kemungkinan besar mereka tidak solat berjemaah di masjid.

Pandangan yang lain pula menunjukkan bahawa di saat anda dan beberapa kerat para jemaah bersungguh-sungguh dan penuh khusyuk menunaikan solat maghrib di masjid, sementara sahabat-sahabat kita tadi asyik membeli-belah atau sedang pulang ke rumah dengan langkah dan pemanduan yang perlahan. Ketika anda sedang berzikir dan berdoa di masjid, ramai lagi para sahabat kita sedang menonton TV, mendengar muzik, melepak dan berbual-bual kosong atau asyik menghisap rokok di beranda rumah.

Suasana yang dipaparkan ini menggambarkan betapa daif sebahagian umat Islam dalam menghayati syiar Islam. Bagi mereka, syiar atau tanda ubudiyah dan kepatuhan kepada Allah tidak penting dan tidak dijiwai sepenuhnya. Pada mereka, bersiap sedia dan dengan keadaan cergas untuk ke masjid berjemaah, bukanlah suatu keutamaan, apatah lagi mereka bersikap tidak ambil peduli kepada amalan-amalan sunat, seperti solat berjemaah di masjid. Ini bermakna, sebahagian besar daripada kita mengabaikan syiar Islam. Mereka tidak pernah mengamalkan prinsip bahawa kewajipan agama mesti diutamakan dan amalan-amalan sunat perlu diamalkan sebaik mungkin sebagai bukti kepatuhan kepada Allah s.w.t.

Lebih menyedihkan lagi, gambaran pengabaian kepada syiar Islam ini, apabila kita bayangkan beberapa kerat sahabat kita bersama imam bersolat dengan khusyuk atau berzikir dan berdoa dengan penuh pengharapan, memohon kepada Allah supaya diselamatkan seluruh umat Islam, tetapi sahabat-sahabat sedang leka berjalan atau memandu, bersantai di rumah menikmati hiburan atau sedang ghairah membeli-belah. Kelihatannya, mereka langsung tidak memperdulikan seruan Allah yang memberikan mereka nyawa dan kehidupan. Mereka lupa kepada amaran Allah dalam surah Taha ayat 100-101 yang bermaksud, “Sesiapa yang berpaling ingkar dari peringatan Al-Quran itu, maka sesungguhnya dia pada hari kiamat menanggung beban dosa yang berat. Mereka kekal di dalam azab dosa itu, dan amatlah buruknya tanggungan itu bagi mereka pada hari kiamat.”

Demikianlah suatu gambaran tentang kerapuhan dan kealpaan umat Islam terhadap syiar Islam. Hal ini adalah suatu pengabaian yang mengaibkan di sisi Allah dan RasulNya. Ia juga menjadikan imej umat Islam tidak hebat pada pandangan orang bukan Islam. Fenomena yang mengancam maruah Islam ini perlu dilenyapkan iaitu dengan kembali kepada Allah. Kembali memberi keutamaan kepada kewajipan-kewajipan agama termasuk amalan solat berjemaah di masjid dan amalan-amalan sunat yang lain. Setiap orang perlu meletakkan syiar atau bukti kepatuhan kepada Allah di hadapan segala-galanya. Perlu dirancang kehidupan supaya kita melihat diri kita berperanan mengukuh dan memperkasakan syiar Islam, jalinan kerjasama dan budaya saling menghormati.

[Petikan khutbah Jumaat di Masjid UMT pada 21 Julai 2017]