Home » Khutbah Jumaat » Ihya Ramadhan

Thu Sep 21, 2017
Waktu
Subuh 5:42 am
Syuruk 6:57 am
Zohor 1:01 pm
Asar 4:09 pm
Maghrib 7:04 pm
Isyak 8:11 pm

Ihya Ramadhan

Bersempena dengan kedatangan bulan Ramadhan tahun ini, mimbar Jumaat pada hari ini akan membicarakan tentang tajuk “Ihya Ramadhan”. Apabila menjelang tibanya Ramadhan, Rasulullah s.a.w akan memberi galakkan dan dorongan yang menggembirakan para sahabat tentang betapa hebatnya bulan yang agung itu. Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud, “Telah datang kepada kamu Ramadhan iaitu bulan yang berkat, Allah telah fardukan ke atas kamu berpuasa pada bulan itu, dibukakan pintu-pintu syurga pada bulan itu, dan ditutup pintu-pintu neraka dan dibelenggu semua syaitan. Pada bulan itu terdapat satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Sesiapan yang tidak mendapat kebaikannya atau keberkatannya maka dia telah terhalang (dari kebaikan-kebaikan). (HR Imam Ahmad, Baihaqi dan Nasai)

Ramadhan adalah bulan keampunan, bulan pembebasan dari api neraka, bulan Al-Quran, bulan yang digandakan ganjaran pahala, bulan lailatul qadar, bulan doa dimakbulkan, serta bulan yang penuh dengan limpahan rahmat dan berkat. Keistimewaan inilah yang menjadikan Rasulullah s.a.w., para sahabat dan seterusnya orang-orang mukmin sentiasa merindui dan menanti-nantikan ketibaan Ramadhan Al-Mubarak.

Ramadhan adalah kesempatan yang dikurniakan oleh Allah s.w.t. bagi hamba-hambaNya untuk mendidik nafsu agar tunduk di bawah pengaruh iman dan takwa. Dalam bulan yang penuh keberkatan ini, kita sepatutnya meninggalkan aktiviti-aktiviti yang melalaikan, dengan memberi tumpuan kepada amalan-amalan ketaatan. Oleh itu, marilah kita menanam keazaman untuk menghidupkan Ramadhan pada tahun ini dengan melaksanakan amalan-amalan berikut dengan sempurna.

Pertama : Berpuasa di siang hari. Puasa Ramadhan adalah salah satu rukun Islam dan hukumnya adalah wajib berdasarkan dalil Al-Quran, hadis dan ijmak ulama. Allah s.w.t. berfirman dalam surah Al-Baqarah, ayat 183 yang bermaksud, “Wahai orang-orang yang beriman. Diwajibkan ke atas kamu berpuasa, sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa.”

Puasa itu bukan hanya sekadar menahan diri daripada makan dan minum. Puasa yang hakiki adalah menahan diri dari segala yang diharamkan oleh Allah s.w.t. Dalam sebuah hadis qudsi dari Abu Hurairah r.a., bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud, “Allah s.w.t. berfirman : Setiap amal anak Adam adalah untuknya kecuali puasa. Puasa tersebut adalah untukKu dan Aku yang akan membalasnya. Puasa adalah perisai. Apabila salah seorang dari kamu berpuasa, maka janganlah berkata kotor, jangan pula bertengkar. Jika ada seseorang yang mencaci dan mengajar berkelahi maka katakanlah, saya sedang berpuasa. Demi zat yang jiwa Muhammad berada ditanganNya, sesungguhnya bau mulut orang berpuasa lebih harum di sisi Allah pada hari kiamat daripada bau kasturi. Dan bagi orang yang berpuasa ada dua kegembiraan, gembira ketika berbuka dan gembira ketika bertemu Allah.” (HR Bukhari dan Muslim)

Kedua : Solat tarawih di malam hari. Solat tarawih termasuk qiamulail atau solat malam, tetapi solat tarawih ini dikhususkan hanya di bulan Ramadhan. Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud, “Barangsiapa solat pada malam Ramadhan kerana iman dan semata-mata taat kepada Allah, maka diampunkan dosa-dosanya telah lalu.” (HR Bukhari dan Muslim)

Imam Nawawi r.a. berkata dalam Sharah Shahih Muslim, yang dimaksudkan dengan qiam Ramadhan adalah solat tarawih. Para ulama telah bersepakat bahawa solat tarawih itu hukumnya sunat muakad dan lebih afdhal dilaksanakan secara berjemaah.

Ketiga : Membaca dan bertadarus Al-Quran. Al-Quran diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w. pada bulan Ramadhan. Dalam usaha mendekatkan diri kepada Allah s.w.t., bulan Ramadhan adalah kesempatan yang paling berharga untuk memperbanyakkan bacaan Al-Quran, sama ada secara berseorangan ataupun bertadarus iaitu salah seorang membaca dan yang lain mendengar serta menegur kesilapan. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Abas r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. sendiri bertadarus dengan Jibril a.s. pada setiap bulan Ramadhan.

Keempat : Bersedekah. Salah satu pintu yang dibuka oleh Allah s.w.t. untuk meraih keuntungan besar daripada bulan Ramadhan adalah melalui sedekah. Allah s.w.t. memuliakan orang yang bersedekah dengan menjanjikan berbagai keutamaan dan ganjaran. Rasulullah s.a.w. adalah orang yang paling pemurah, dan baginda akan memperbanyakkan sedekah di bulan Ramadhan. Di antara amalan sedekah yang digalakkan oleh Rasulullah s.a.w. pada bulan Ramadhan adalah menyediakan hidangan berbuka puasa kepada orang yang berpuasa.

Kelima : Beriktikaf. Iktikaf adalah salah satu ibadah yang sentiasa dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. terutamanya menjelang akhir Ramadhan. Iktikaf bererti berada di dalam masjid dengan niat iktikaf bagi mendekatkan diri kepada Allah s.w.t. Iktikaf sunat dilakukan setiap waktu, tetapi yang paling utama jika dilakukan dalam bulan Ramadhan.

Bulan Ramadhan bukanlah bulan yang menjadikan umat Islam itu lesu, tetapi Ramadhan adalah bulan yang mendorong umat Islam aktif dalam melaksanakan amalan ketaatan. Muslim yang bijaksana akan menggunakan kesempatan dan mengisi waktu dalam bulan yang mulia ini dengan memperbanyakkan ibadah. Mereka sentiasa berwaspada dari melakukan sesuatu perkara yang subhah dan lebih-lebih lagi yang haram. Sama-samalah kita sempurnakan dan melipat gandakan ibadah Ramadhan tahun ini kerana mungkin Ramadhan ini adalah yang terakhir bagi kita.

[Petikan khutbah Jumaat di Masjid UMT pada 25 Mei 2017]