Home » Berita Canselori » UMT Tawarkan 164 Tempat Untuk Pelajar Diploma Perikanan

Wed Sep 20, 2017
Waktu
Subuh 5:42 am
Syuruk 6:57 am
Zohor 1:01 pm
Asar 4:09 pm
Maghrib 7:05 pm
Isyak 8:12 pm

UMT Tawarkan 164 Tempat Untuk Pelajar Diploma Perikanan

Kuala Nerus, 30 Mei – Program Diploma Perikanan merupakan program tertua di UMT dan merupakan program legasi daripada UPM. Oleh itu, tidak hairanlah hanya terdapat dua IPT sahaja di Malaysia yang menawarkan program Diploma Perikanan iaitu UMT dan UPM cawangan Bintulu, Sarawak. Walaupun begitu, program ini sentiasa ditambahbaik agar sentiasa relevan dengan keperluan semasa industri perikanan serta peredaran zaman.

Adalah sesuatu yang sangat dibanggakan apabila ramai graduan Diploma Perikanan telah berjaya menjawat jawatan penting dalam sektor kerajaan, sektor swasta mahupun sebagai usahawan perikanan dan akuakultur. Ada yang telah menjadi pegawai tinggi seperti Pegawai Tadbir Diplomatik di Kementerian, ada yang telah menjadi Pengarah Perikanan negeri, ada yang menjadi usahawan dengan gaji puluhan ribu sebulan, malahan ada juga graduan Diploma Perikanan yang telah menjadi ahli akademik dengan menggenggam segulung Ijazah PhD.

“Pada sesi kemasukan 2017/2018, seramai 186,857 calon telah memohon untuk program diploma dan 2,529 daripadanya adalah memohon untuk Diploma Perikanan di UMT, tetapi hanya 80,000 calon sahaja yang berjaya mendapat tempat, termasuk 164 tempat yang telah disediakan oleh UMT. Sistem pemilihan adalah menggunakan prinsip meritokrasi di mana dengan menggunapakai 90% markah akademik dan 10% markah ko-kurikulum”, ujar Naib Canselor UMT, Prof. Dato’ Dr. Nor Aieni Mokhtar dalam Majlis Ikrar Pelajar Diploma Perikanan UMT yang berlangsung di Auditorium Mahyuddin UMT.

“Program Diploma Perikanan juga merupakan salah satu ’feeder’ kepada program-program ijazah di UMT. Mengikut statistik, sebanyak 75% graduan Diploma Perikanan melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah. Graduan Diploma Perikanan mempunyai kelebihan berbanding dengan lepasan Matrikulasi dan diploma lain. Ini adalah kerana terdapat sistem pengecualian kursus-kursus tertentu yang membolehkan pelajar-pelajar cemerlang menamatkan pengajian peringkat Ijazah dalam masa yang lebih singkat. Mengikut rekod juga, ada graduan Diploma Perikanan yang mendapat Ijazah Cemerlang atau Kelas Pertama dan ada yang berjaya mendapat anugerah pelajar terbaik Ijazah di peringkat Pusat Pengajian atau di peringkat Universiti”, katanya lagi.