CANSELORI

UNIVERSITI MALAYSIA TERENGGANU

Taklimat Jelajah Memahami Dasar Ekonomi Negara

Kuala Nerus, 23 Mei – Dasar rasionalisasi subsidi merupakan sebahagian daripada pelaksanaan Model Ekonomi Baru dan Rancangan Malaysia Ke-10. Pelaksanaan program ini dibuat setelah Kerajaan mendapati pemberian subsidi tidak efektif dan tidak berkesan dalam membantu rakyat Malaysia terutamanya kepada golongan yang kurang berkemampuan dan kurang bernasib baik. Rasionalisasi subsidi juga dilaksanakan bagi membolehkan Kerajaan mengurangkan defisit dan mencapai sasaran pembangunan negara serta membantu rakyat.

“Sejak dari tahun 1998 hingga sekarang, bajet Kerajaan adalah defisit. Pelaksanaan program rasionalisasi subsidi dan cukai barang dan perkhidmatan (GST) dapat membantu Kerajaan membelanjakan sumber kewangan untuk pembangunan negara yang lebih mapan. Kerajaan menyedari kesempitan hidup yang dialami oleh golongan bawah (B40) sebab itu Kerajaan memberikan Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BRIM) malah bantuan ini terus diagihkan kepada kumpulan sasaran. Begitu juga dengan golongan pertengahan (M40), Kerajaan membantu golongan ini melalui beberapa pelepasan cukai pendapatan seperti Pelepasan Cukai Gaya Hidup, Pelepasan Cukai Perubatan Ibubapa dan sebagainya,” ujar Dato’ Lokman Noor Adam, Pengarah Komunikasi Strategik Kementerian Kewangan Malaysia (MOF).

“Daripada peruntukan subsidi yang berjumlah RM280juta setahun, Kerajaan telah dan akan melaksanakan pelbagai projek untuk meningkatkan kemudahan pendidikan, kesihatan, infrastruktur, pembangunan masyarakat, latihan dan mewujudkan peluang pekerjaan kepada graduan,” beliau berkata demikian dalam program Jelajah Memahami Dasar Ekonomi Negara anjuran Kementerian Kewangan Malaysia dengan kerjasama Pusat Pengajian Pembangunan Sosial dan Ekonomi (PPPSE), UMT yang diadakan di Auditorium Mahyuddin, UMT pada hari ini.
Turut hadir dalam program ini ialah Prof. Dr. Fauziah Abu Hasan, Penolong Naib Canselor (Hal Ehwal Korporat dan Jaringan Industri) UMT dan Prof. Madya Dr. Suryani Muhamad, Dekan PPPSE.