CANSELORI

UNIVERSITI MALAYSIA TERENGGANU

UMT Lancarkan Modul STEM

Kuala Nerus, 15 Mei – Menerusi pelaksanaan Pelan Hala Tuju Modal Insan Sains dan Teknologi Malaysia Tahun 2020, pelbagai usaha telah dan sedang dilakukan ke arah pembudayaan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik atau dikenali sebagai STEM di kalangan generasi muda yang merupakan aset penting negara. Jika dilihat di dalam konteks negara maju, penggunaan tenaga kerja berkepakaran di bidang STEM telah memperlihatkan peningkatan 3 kali ganda (semenjak 10 tahun lepas) berbanding tenaga kerja bukan berkepakaran STEM. Malah, kebolehpasaran tenaga kerja berkepakaran STEM yang begitu menggalakkan di negara-negara Eropah, US, Jepun, China dan Korea Selatan banyak di dorong oleh perkembangan pesat bidang R & D yang turut ‘menyuburkan’ budaya inovasi di kalangan masyarakat mereka.

Menyedari akan kepentingan STEM dalam pembangunan sesebuah negara menuju status negara maju termasuk Malaysia, UMT dengan kerjasama National STEM Movement, Jabatan Pendidikan Tinggi Negeri Terengganu (JPNT) dan Pusat Sains Kreativiti Terengganu (PSKT) dengan sumbangan tajaan daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Majlis Profesor Negara (MPN) dan Malaysian Industry Government Group (MIGHT), telah menganjurkan Kolokium Kebangsaan Pendidik Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (KKPSTEM) Peringkat Wilayah Pantai Timur 2017 pada 14-15 Mei 2017 bertempat di Dewan Sultan Mizan UMT. Kolokium ini telah dirasmikan oleh YB Datuk Dr. Mary Yap Kain Chin,Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Malaysia.

“Dalam melahirkan teknorat mahir, Malaysia hanya memiliki sekitar 3 peratus tenaga mahir di dalam bidang berkaitan STEM, berbanding negara maju seperti US, Jepun dan Singapura yang mampu berbangga dengan 30 peratus tenaga kerja di dalam bidang yang sama. Sesungguhnya masih banyak usaha yang kita semua perlu lakukan demi mencapai hasrat berkenaan terutama ketika kita menuju ke arah TN50”, ucap beliau dalam majlis perasmian kolokium tersebut.

Selain itu, beliau turut melancarkan Modul STEMPLUS UMT yang dihasilkan oleh para pensyarah UMT terdiri daripada enam (6) modul iaitu Modul Sains, Modul Teknologi, Modul Kejuruteraan (Engineering), Modul Matematik, Modul English dan Modul Sains Kelautan dan Sumber Akuatik. Modul STEMPLUS UMT akan digunakan secara menyeluruh di sembilan buah sekolah angkat STEM UMT.