Home » Khutbah Jumaat » Islam Agama Perpaduan

Isn Jun 18, 2018
Waktu
Subuh 5:33 am
Syuruk 6:56 am
Zohor 1:09 pm
Asar 4:36 pm
Maghrib 7:22 pm
Isyak 8:36 pm

Islam Agama Perpaduan

Perpaduan membawa maksud bergabung menjadi satu atau kesatuan. Perpaduan adalah tuntutan Islam dan merupakan suatu yang makruf, manakala perpecahan pula adalah suatu yang mungkar. Perpaduan terjalin berasaskan dua ikatan iaitu perpaduan dalam kalangan masyarakat yang bersifat luaran yang berasaskan bangsa dan negara bagi memperteguh suasana dan memelihara kerukunan sosial, ekonomi dan politik negara, serta perpaduan umat Islam yang bersifat kesatuan dalaman melalui tawanan jiwa dan hati.

Kepelbagaian bangsa manusia adalah sunnatullah untuk kebaikan manusia sejagat. Islam mengiktiraf maruah dan martabat semua manusia supaya mereka bertaaruf atau saling memelihara hak-hak antara satu sama lain. Firman Allah swt dalam surah Al-Hujarat ayat 13 yang bermaksud, “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan dan beramah-mesra antara satu dengan yang lain. Sesungguhnya, semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, bukan yang lebih keturunan atau bangsanya. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya akan keadaan dan amalan kamu.”

Negara kita juga adalah sebuah negara yang terdiri daripada pelbagai bangsa, agama dan budaya. Perbezaan ini bukanlah alasan untuk kita berselisih, menghina dan menceroboh pihak lain. Firman Allah swt dalam surah Al-An’am, ayat 108 yang bermaksud, “Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain dari Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan. Demikianlah Kami memperelokkan pada pandangan tiap-tiap umat akan amal perbuatan mereka, kemudian kepada Tuhan merekalah tempat kembali, lalu Ia menerangkan kepada mereka apa yang mereka telah lakukan.”

Secara tegas, Islam menggariskan panduan tatacara hubungan antara orang Islam dan bukan Islam dalam membina kehidupan. Prinsip ini telah menjadi asas kepada peruntukan Perkara 3 dalam Perlembagaan Malaysia yang meletakkan Islam sebagai agama bagi persekutuan, tetapi dalam masa yang sama memberi ruang bagi agama-agama lain diamalkan dengan aman di negara ini. Perpaduan dalam kalangan warga negara Malaysia telah sekian lama terjalin kerana prinsip ini dipelihara dengan perasaan muhibah dan saling menghormati. Kita bersyukur kepada Allah swt kerana rakyat di negara ini dapat hidup dengan sejahtera dan harmoni atas kesedaran bahawa perpaduan membawa kekuatan dan kejayaan, sebaliknya perselisihan membawa kepada permusuhan yang mengakibatkan kehancuran negara.

Perpaduan dalam kalangan umat Islam bukan sekadar suatu keperluan yang bersifat luaran, tetapi ia adalah ikatan persaudaraan atau ukhuwah Islamiyah yang dijalin dengan iman dan Islam. Ikatan ukhuwah ini dijalin merentas batasan dan sempadan negara. Jalinan ukhuwah ini sebenarnya adalah ikatan kesetiaan dalam membela dan menjaga kemuliaan umat Islam. Firman Allah swt dalam surah Al-Hujarat ayat 10 yang bermaksud, “Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu yang bertelingkah itu. Dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.”

Perpaduan umat Islam dipupuk dengan nilai-nilai yang tinggi melalui Al-Quran dan sunnah Rasulullah saw bertujuan mencapai keredhaan Allah dan dalam masa yang sama mengukuhkan hubungan persaudaraan Islam. Sabda Rasulullah saw yang bermaksud, “Janganlah kamu dengki-mendengki, tipu-menipu, benci-membenci, musuh-memusuhi, dan jangan kamu berjual beli atas jual beli setengah yang lain, dan jadilah kamu sekalian hamba-hamba Allah yang bersaudara. Seorang Muslim adalah bersaudara sesama Muslim, tidak boleh menganiayanya, tidak boleh membiarkannya tertindas, tidak boleh mendustainya dan tidak boleh menghinanya. Takwa itu berpunca dari sini, sambil Nabi saw menunjukkan ke dadanya tiga kali. Sudah memadailah kejahatan seorang itu jika ia menghina saudaranya yang Islam. Seorang Muslim ke atas seorang Muslim yang lain diharamkan darahnya, harta bendanya dan kehormatannya.” (Riwayat Imam Muslim)

Allah swt memerintahkan umat Islam supaya bersatu padu atas jalan kebenaran dan melarang perpecahan. Perpaduan Islam ditegakkan atas kebenaran. Demikian juga, dengan perpaduanlah kebenaran akan mampu ditegakkan, dan segala bentuk kemungkaran serta penyelewengan akan mampu dicegah dengan lebih berkesan. Pembunuhan, pengusiran dan penyiksaan ke atas umat Islam Palestin, Myanmar dan di beberapa negara lain adalah gambaran betapa pudarnya perpaduan dalam kalangan umat Islam dan negara-negara Islam. Umat Islam hidup sebagai golongan mustad’afin yang tertindas dan tertekan dalam percaturan kuasa besar barat.

Terjemahan / Translation / ترجمة / 翻译