Home » Khutbah Jumaat » Jenayah Adalah Kemungkaran

Sat Nov 25, 2017
Waktu
Subuh 5:39 am
Syuruk 6:59 am
Zohor 12:55 pm
Asar 4:17 pm
Maghrib 6:50 pm
Isyak 8:01 pm

Jenayah Adalah Kemungkaran

criminal

Kita bukanlah seorang yang benar-benar bertakwa sehinggalah kita menjauhkan diri daripada melakukan perbuatan yang dilarang oleh Allah s.w.t. Allah s.w.t. telah menjanjikan syurga kepada sesiapa yang menjauhi laranganNya. Firman Allah s.w.t. dalam surah An-Nisa’ ayat 31 yang bermaksud, “Maka jika kamu menjauhkan dosa-dosa besar yang dilarang kamu melakukannya, kami akan mengampunkan kesalahan-kesalahan (dosa kecil) kamu, dan kami akan masukkan kamu ke tempat yang mulia (syurga).”

Ketahuilah bahawa menjauhi larangan Allah s.w.t. itu membawa kerukunan dan kemaslahatan hidup di dunia, serta mencapai kebahagiaan abadi di akhirat. Manakala melanggar larangan Allah s.w.t. sudah pasti akan membawa kemudharatan hidup di dunia dan balasan azab di akhirat. Allah s.w.t. mengingatkan hamba-hambaNya yang melanggar perintahNya mahupun laranganNya, dengan ancaman dan azab yang pedih. Firman Allah s.w.t. dalam surah An-Nisa’ ayat 14 yang bermaksud, “Dan sesiapa yang derhaka kepada Allah dan RasulNya, dan melampaui batas-batas syariatNya, akan dimasukkan oleh Allah ke dalam api neraka, kekallah ia di dalamnya, dan baginya azab seksa yang amat menghina.”

Setiap hari, kita akan mendengar atau membaca laporan berita tentang pelbagai kes jenayah di negara ini. Kes-kes jenayah yang dilaporkan ini melibatkan pesalah dan mangsa pada semua peringkat masyarakat, tanpa mengira umur, jantina, bangsa, agama, tahap pendidikan atau kekayaan. Jenayah memberi kesan yang besar terhadap suasana serta kualiti hidup masyarakat dan negara. Secara fitrahnya, semua golongan masyarakat dan negara memerlukan kesejahteraan, ketenteraman dan keamanan hidup. Namun, jenayah bukan sahaja memudharatkan mangsa, membawa kebimbangan dan rasa takut dalam hidup masyarakat setempat serta pelancong, bahkan akan menjejaskan keamanan dan pembangunan negara.

Jenayah dalam bahasa Arab disebut dengan perkataan Al-Jenayah atau Al-Jarimah. Perkataan Al-Jenayah diertikan sebagai segala bentuk tindakan yang dilarang dan merosakkan, sama ada tindakan itu ke atas badan, harta atau sebagainya. Imam Al-Mawardi رحمه الله mentakrifkan jenayah sebagai segala bentuk kesalahan menurut syariat yang boleh dihukum berdasarkan hukum Allah, sama ada ia adalah qisas, hudud atau ta’zir. Pengertian jenayah adalah luas kerana semua kesalahan yang boleh dihukum oleh pemerintah menurut syarak dianggap sebagai jenayah. Dalam pengertian semasa, jenayah adalah kelakuan atau tindak-tanduk yang menyalahi undang-undang yang dikuatkuasakan, yang dilakukan oleh individu atau kumpulan tertentu dengan niat atau dengan sengaja.

Jenayah boleh dibahagikan kepada beberapa bahagian iaitu jenayah harta benda, jenayah perairan (maritim), jenayah udara, jenayah melibatkan moral, jenayah melibatkan hak individu, kumpulan atau organisasi.Selain daripada kes-kes mencedera dan membunuh, mencuri dan merompak, gangguan seksual dan merogol, sindiket dadah, pelacuran, judi dan penyeludupan manusia, kes-kes seperti cetak rompak CD dan DVD, mengeluarkan barangan palsu berjenama seperti jam tangan atau pakaian, pemalsuan dokumen atau sijil, jual beli barang terlarang, membuat tuntutan palsu dan sebagainya lagi adalah termasuk dalam kes-kes jenayah. Semua jenayah tersebut adalah kemungkaran dan merupakan dosa yang wajib dijauhi. Abdullah bin Mas’ud r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud, “Kamu semua hendaklah berlaku jujur, kerana kejujuran membawa kepada kebaikan, dan kebaikan membawa ke syurga.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Dalam syariat, pencabulan terhadap kemuliaan agama, nyawa, akal, harta dan maruah adalah jenayah. Islam meletakkan jenayah sebagai kesalahan yang mesti dihukum, kerana ia melanggar hak Allah dan hak manusia. Orang yang melakukan kesalahan boleh dihukum dengan hukuman yang telah ditetapkan, jika terbukti kesalahannya. Pelaksanaan setiap hukuman dalam Islam, merupakan kewajipan ta’abudiyyah. Pelaksanaan hukuman ini, bertujuan menjaga dan memelihara kemaslahatan hidup manusia dan menghindarkan kerosakan sama ada dengan cara mendidik dan mencegah ahli masyarakat daripada terlibat dengan kemungkaran, dan menjamin serta membela keadilan, bagi setiap hak individu dalam masyarakat.

Perlu diingat bahawa peredaran masa serta kemajuan sains dan teknologi telah membuka ruang kepada wujudnya pelbagai jenis serta tiknik pelakuan jenayah yang baru dan canggih. Ia berupaya mengelak daripada dikesan oleh pihak berkuasa. Walaupun pihak polis sentiasa berusaha menurunkan kadar jenayah, dengan langkah mengesan serta mempercepatkan penyelesaian kes jenayah, anggota masyarakat juga perlu bekerjasama, bertindak sebagai pemantau sukarela yang berperanan menjaga keharmonian kawasan kejiranan dan kampung halaman dengan sentiasa menyampaikan maklumat aktiviti-aktiviti yang mencurigakan kepada pihak berkuasa.

[Petikan khutbah Jumaat di Pusat Islam Sultan Mahmud UMT pada 24 Mac 2017]