CANSELORI

UNIVERSITI MALAYSIA TERENGGANU

UMT Sertai Kemeriahan LIMA’2017

untitled-design-1

Langkawi, 22 Mac 2017 – Langkawi International Maritime and Aerospace Exhibition (LIMA) diadakan setiap dua tahun sejak 1991 di Pulau Langkawi dan ia merupakan satu aktiviti pameran bagi pengeluar industri aero-angkasa dan maritim dunia. UMT turut menyertai LIMA ’17 yang diadakan pada 21 hingga 25 Mac 2017 bertempat di Pusat Perdagangan Antarabangsa Mahsuri, Langkawi. Kehadiran UMT ke LIMA ’17 adalah untuk mempromosikan program pengajian di UMT secara umumnya, dan bidang maritim dan sains marin secara khusus, mempromosikan kepakaran dan kemudahan penyelidikan di UMT seperti RV Discovery, makmal bergerak, peralatan saintifik serta perkhidmatan konsultansi, serta mempromosikan citra dan produk penyelidikan UMT ke pasaran dunia. Perasmian LIMA ’17 telah disempurnakan oleh Perdana Menteri Malaysia, Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Haji Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak pada 21 Mac 2016, dan ia turut dihadiri oleh Naib Canselor UMT, pegawai-pegawai UMT dan pelajar UMT.

“UMT merakamkan ucapan terima kasih kepada Kementerian Pertahanan Malaysia dan Kementerian Pengangkutan Malaysia atas jemputan untuk menyertai LIMA ’17. Ini membuka peluang kepada UMT untuk membina hubungan kerjasama dengan industri dalam bidang penyelidikan marin dan maritim. Penonjolan UMT dalam pameran akan memberikan gambaran khusus kepada industri bahawa UMT merupakan universiti yang melahirkan graduan dalam bidang marin dan maritim,” ujar Prof. Dato’ Dr. Nor Aieni Mokhtar, Naib Canselor UMT selepas majlis perasmian LIMA ’17.

Selain daripada aktiviti pameran kapal penyelidikan RV Discovery UMT dan peralatan saintifik, UMT telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Kementerian Pengangkutan Malaysia pada 22 Mac 2017 dalam bidang penyelidikan, latihan dan pengembangan kerjaya pelajar dan staf UMT. UMT turut mengadakan Ceramah Kerjaya yang disampaikan oleh pensyarah Pusat Pengajian Kejuruteraan Kelautan (PPKK) dan Pusat Pengajian Perniagaan dan Pengurusan Maritim (PPPPM).