CANSELORI

UNIVERSITI MALAYSIA TERENGGANU

‘Know, Like and Trust’ Konsep Asas Media Sosial

15732349_1709409656035825_4276121131995873558_o

Kuala Nerus, 28 Dis 2016 – Sejajar dengan perkembangan teknologi telefon bimbit dan internet, media sosial telah digunakan sebagai kaedah komunikasi yang paling utama oleh masyarakat di seluruh dunia terutamanya di kalangan generasi muda. Menurut Wikipedia, media sosial adalah sejenis media yang digunakan terus secara talian dengan membolehkan para pengguna dengan mudah untuk menyertai, berkongsi, dan mencipta isi meliputi blog, rangkaian sosial, wiki, forum dan dunia virtual. Blog, rangkaian sosial dan wiki merupakan bentuk media sosial yang paling umum digunakan oleh masyarakat di seluruh dunia. Antara jaringan sosial yang paling banyak digunakan oleh manusia ialah Facebook, Twitter, Myspace dan Plurk.

Menyedari akan kepentingan penggunaan media sosial dalam organisasi seperti Facebook (FB) dan Instagram, Pusat Komunikasi Korporat UMT telah menganjurkan Kursus Media Sosial pada 28-29 Disember 2016 bagi memberikan pendedahan kepada pentadbir-pentadbir media sosial setiap jabatan berkenaan dengan kaedah penggunaan media sosial sebagai media untuk mempromosi produk, perkhidmatan, kepakaran, citra, keterlihatan (visibility) dan fungsi jabatan dalam meningkatkan imej dan reputasi UMT. Kursus ini telah dikendalikan oleh Puan Mastura Mustaffa, Ketua Unit Pembangunan Usahawan, Kolej Komuniti Paya Besar Pahang. Beberapa pelajar beliau telah berjaya menjadi ikon e-Usahawan seperti Syed Mustafa Tarmizi bin Tuan Ahmad yang telah menjana pendapatan bulanan 20ribu menerusi perniagaan atas talian.

“Know, Like dan Trust merupakan konsep asas dalam media sosial. FB adalah media sosial yang sangat sesuai untuk mempromosikan produk dan perkhidmatan yang ada di UMT serta meningkatkan imej UMT. Namun hanya 3% sahaja daripada rakan-rakan FB yang betul-betul like atau mengikuti posting kita dalam FB. Oleh itu, penggunaan strategi yang kontroversi dan pemasaran berbayar amat berguna dalam FB ketika ini. Pihak pengurusan perlu menyediakan peruntukan kewangan untuk promosi dalam FB kerana ia lebih murah dan lebih strategik berbanding kaedah konvensional”, kata beliau ketika menyampaikan kursus tersebut.