Home » Khutbah Jumaat » Bersangka Baik Kepada Orang Lain

Wed Sep 20, 2017
Waktu
Subuh 5:42 am
Syuruk 6:57 am
Zohor 1:01 pm
Asar 4:09 pm
Maghrib 7:05 pm
Isyak 8:12 pm

Bersangka Baik Kepada Orang Lain

snap-2014-07-21-at-14-21-56

Sikap yang baik atau akhlak mulia seseorang itu boleh membawa kebaikan kepada dirinya dan juga kepada orang lain. Salah satu perwatakan atau sikap yang baik dan membawa kebaikan ialah bersangka baik atau ‘husnu-dzon’ kepada orang lain yang juga merupakan tajuk khutbah pada hari yang mulia ini.

Marilah kita mendengar dan menghayati dengan sebaik-baiknya, semoga boleh mengukuhkan lagi jati diri kita yang sentiasa bersikap positif atau menginsafkan, agar membetulkan sikap dan sahsiah kita yang kurang menyenangkan.

Bersangka baik ialah memberikan andaian yang baik kepada seseorang atau pihak tertentu yang tidak jelas baik atau buruknya. Sebagai contoh, apabila kita melihat seseorang yang kelihatan sopan dan penyayang, tetapi dalam masa yang sama ada tanda-tanda yang tidak menyenangkan seperti jarang datang ke masjid. Dalam keadaan sedemikian, kita perlu bersangka baik, iaitu dengan menganggap dia seorang yang baik selagi tiada bukti jelas sebaliknya. Jangan segera menuduh dia seorang yang tidak mesra agama yang perlu dicurigai dan dijauhi.

Islam sangat menganjurkan umatnya supaya bersikap sangka baik atau ‘husnu-dzon’. Kelebihan sifat terpuji ini, di antara lain mampu melapangkan dada dan menjernihkan minda dengan terhindarnya daripada perasaan sakit hati, dengki atau memikirkan perkara yang bukan-bukan. Bersangka baik juga boleh mengukuhkan jalinan kemesraan dan mahabbah di kalangan masyarakat. Sebaliknya, jika seseorang itu mengambil kesimpulan yang negatif atau ‘su’u dzon’, apabila berhadapan dengan seseorang atau pihak yang diragui kebaikannya, mudah sekali mencetuskan berbagai andaian buruk atau negatif. Lebih buruk lagi jika tanggapan negatif (su’u dzon) ini, diiringi dengan tindakan menghukum tanpa tabayyun atau usul periksa, di samping merasa jelik hingga kadang-kadang boleh menghapuskan budi atau jasa baik pihak yang di pandang serong itu. Justeru, Allah taala melarang sikap bersangka buruk ini sebagaimana firman Allah dalam surah Al-Hujarat ayat 12, yang bermaksud, “Wahai orang yang beriman! Jauhilah kebanyakkan dari sangkaan, kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa, dan janganlah kamu mencari kesalahan orang. Dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah kamu suka makan daging saudaranya yang telah mati? Maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. Dan bertakwalah kamu kepada Allah. Sesungguhnya Allah penerima taubah, lagi Maha Mengasihani.”

Daripada firman Allah taala itu, kita boleh membuat kesimpulan bahawa bersangka buruk kepada seseorang atau satu-satu organisasi itu di larang kerana kesan buruknya seperti mendorong kepada perbuatan mengintip, mengumpat dan menghukum tanpa alasan kukuh. Menjelaskan lagi betapa perlunya kita menghindari sikap bersangka buruk ini, Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud, “Jauhilah kamu semua daripada buruk sangka. Sesungguhnya buruk sangka adalah percakapan yang paling dusta. Janganlah kamu terlalu sensitif dan mengintip-intip keaiban orang. Janganlah kamu saling berdengki, saling memulau dan saling membenci. Jadilah kamu semua hamba-hamba Allah yang bersaudara.” (Riwayat Al-Bukhari)

Hadis ini memberi pencerahan yang lebih jelas lagi tentang peri pentingnya kita perlu bersikap sangka baik yang boleh mengukuhkan persaudaraan Islam, di samping mengingatkan kita supaya tidak berperasangka buruk kerana ia boleh mencetuskan kebencian dan perpecahan.

Dalam situasi, di mana terdapat perbuatan menyebarkan fitnah dan menghukum seseorang yang belum terbukti kesalahannya berleluasa, terutama melalui media sosial. Kita perlu bersikap adil dan rasional, jangan mudah menghukum sekadar beberapa perkara yang diragukan. Apatah lagi hukuman itu sampai melibatkan pihak yang tidak bersalah dan hingga melupai segala kebaikan yang disumbangkan.

Perbuatan bersangka buru dan kemudiaanya diikuti dengan berbagai tuduha dan kesimpulan yang negatif, boleh menjatuhkan imej seseorang atau sesebuah organisasi. Tidak dinafikan bahawa tidak semua orang sempurna, tetapi dengan mengambil satu aspek yang tidak sempurna untuk menghukum keseluruhan, adalah suatu tindakan yang sangat tidak adil dan kejam.

Marilah kita bersangka baik kepada seseorang atau sesebuah organisasi yang belum nyata keburukannya. Jangan mudah membuat kesimpulan yang negatif. Dengan itu dada kita terasa lapang dan fikiran menjadi jernih. Dengan mengambil sikap ‘husnu-dzon’ juga kita tidak terjebak dalam beberapa akhlak buruk yang dilarang oleh agama seperti hasad dengki, memfitnah dan mendedahkan keaiban, yang kemudian menyebabkan kebencian dan permusuhan.

Di samping itu, jika terbukti sekalipun dengan jelas tentang aspek keburukan itu, sama-samalah diberi peluang supaya dapat diperbaiki, dan dibetulkan mana yang silap. Di samping itu, berdoalah agar diampunkan segala kesalahan pihak yang terlibat dan jadikan apa yang berlaku sebagai iktibar yang boleh meningkatkan lagi prestasi dan akhlak terpuji.

[Petikan khutbah Jumaat di Pusat Islam Sultan Mahmud UMT pada 23 Disember 2016]