Home » Khutbah Jumaat » Bersama Membantu Umat Islam Rohingya

Sat Nov 25, 2017
Waktu
Subuh 5:39 am
Syuruk 6:59 am
Zohor 12:55 pm
Asar 4:17 pm
Maghrib 6:50 pm
Isyak 8:01 pm

Bersama Membantu Umat Islam Rohingya

save-the-rohingya-fb-image

Islam adalah agama yang menyeru kepada keamanan, mengajak kepada kebaikan, menolak kezaliman dan mencegah kemungkaran. Lantaran itu, sejak awal lagi Islam memerangi dan mengutuk keras tindakan kezaliman dan keganasan, apatah lagi jika sampai kepada mengorbankan jiwa yang tidak berdosa. Allah s.w.t. berfirman dalam surah As-Syura, ayat 41-42 yang bermaksud, “Dan sesungguhnya orang yang membela diri setelah ia dizalimi, maka tidak ada sebarang jalan hendak menyalahkan mereka. Sesungguhnya jalan (untuk menyalahkan) hanyalah terhadap orang yang melakukan kezaliman kepada manusia dan bermaharajalela di muka bumi dengan tiada sebarang alasan yang benar. Mereka itulah orang yang beroleh azab siksa yang tidak berperi sakitnya.”

Yang jelas, isu kezaliman, penganiyaan, dan pencabulan sesebuah kaum atau bangsa, bukanlah perkara yang baharu tetapi telah lama terjadi. Mereka jadi begitu disebabkan takut atau tidak suka dengan pengaruh daripada kaum tersebut. Inilah yang sedang dihadapi oleh masyarakat Islam Rohingya di Myanmar. Saban hari ada yang disiksa dan dibunuh, seolah-olah satu misi penghapusan kaum Rohingya sedang berlaku.

Gambaran ini nyata sebagai suatu bentuk pencabulan hak asasi manusia dan penghinaan terhadap umat Islam minoriti Rohingya, yang sehingga kini masih belum lagi mendapat pembelaan yang sewajarnya, walaupun mendapat perhatian pelbagai pihak di peringkat antarabangsa termasuk oleh Pertubuhan Negara-negara Islam (OIC).

Golongan Rohingya ini telah cukup terhina apabila dilabel sebagai golongan pelarian dan tanpa negara oleh sesetengah pertubuhan antarabangsa dan tempatan. Tidak cukup dengan itu, kesengsaraan mereka ditambah pula dengan penafian kerakyatan mereka oleh pihak berkuasanya sendiri. Akhirnya, mereka terpaksa berpindah dari kawasan tempat tinggal mereka di Arakan menuju ke beberapa negara seperti Bangladesh, Arab, Thailand termasuklah Malaysia.

Hakikatnya, situasi golongan ini sama ada di Myanmar atau di negara lain semakin mendapat perhatian dunia memandangkan mereka sedang menghadapi diskriminasi hak asasi manusia yang amat serius. Mimbar berpendapat situasi yang menimpa mereka beberapa hari ini ada kaitan dengan usaha untuk menidakkan golongan Rohingya dari bumi Myanmar.

Amat menyedihkan kita semua kerana kerajaan, pemuka agama dan masyarakat Myanmar telah menyetujui tindakan ini. Seolah-olah golongan Rohingya ini telah banyak memberi masalah dan mengancam kestabilan negara tersebut. Lebih menakutkan, golongan Rohingya yang lemah ini menjadi mangsa akibat dianiaya oleh perbuatan pihak yang lebih agresif dan hebat dari segi fizikal dan kekuasaan.

Muslim yang sebenar adalah mereka yang sentiasa inginkan kebaikan untuk diri sendiri dan juga untuk orang lain. Dengan itu, mereka tidak akan sesekali merelakan saudaranya terbiar, terlantar atau dizalimi oleh pihak musuh. Sebaliknya, mereka akan ambil peduli, menjaga sebaik-baiknya, membela dan menolongnya di saat mereka memerlukan. Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud, “Tiada ada seorang yang membiarkan seorang Muslim ditempat dia dihinakan kehormatannya, dan dilanggar kemuliaannya (hak-haknya), melainkan Allah pasti menghinakannya di tempat yang dia ingin mendapatkan pertolongan. Dan tidak ada seorang yang menolong seorang Muslim di tempat dia dihinakan kehormatannya dan dilanggar kemuliaannya (hak-haknya) melainkan Allah pasti menolongnya di tempat yang dia ingin di tolong di dalamnya.”

Sebagai insan yang mempunyai perasaan kasih sayang, sudah pasti kita dapat merasakan penderitaan yang dialami oleh mereka yang kesusahan ini. Mimbar yakin, jika jiwa kita dipupuk dan dipenuhi dengan perasaan kasih sayang, nescaya darjat kita ditinggikan oleh Allah s.w.t. Sesungguhnya, mewujudkan kasih sayang pada diri sendiri, serta memberikan kasih sayang kepada orang lain adalah termasuk ibadah dan menyerlahkan jati diri seorang Muslim. Justeru, dengan adanya kasih sayang, kita akan lebih bersedia untuk menghadapi ujian dengan penuh keinsafan.

Dalam soal membantu menyelesaikan isu etnik Rohingya ini, mimbar menyeru kepada seluruh umat Islam supaya kita semua berdoa agar Allah s.w.t. menyelamatkan saudara Islam Rohingya daripada kezaliman, kekejaman dan penindasan serta marilah kita sama-sama memberi bantuan kewangan melalui “Tabung Khas Bantuan Kemanusiaan Rohingya” yang dilancarkan bermula pada hari ini. Mudah-mudahan dengan sumbangan tuan-tuan ini akan dapat meringankan beban saudara kita di sana. Semoga Allah s.w.t. menerima sumbangan ikhlas kita pada hari ini.

[Petikan khutbah Jumaat di Pusat Islam Sultan Mahmud UMT pada 9 Disember 2016]

15380808_814236042052599_5201838280204210947_n