CANSELORI

UNIVERSITI MALAYSIA TERENGGANU

Dr. Che Mohd Ruzaidi Dilantik Sebagai Timbalan Naib Canselor (HEPA) UMT Yang Baharu

15289252_1696602413983216_8089871189927215614_o

Pada hari ini, UMT telah menyambut ketibaan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) yang baharu iaitu Profesor Madya Dr. Che Mohd Ruzaidi bin Ghazali yang dilantik untuk memegang jawatan tersebut bagi tempoh tiga tahun bermula 1 Disember 2016 hingga 30 November 2019. Beliau dilantik bagi menggantikan Profesor Dr. Anuar bin Hasan yang telah menamatkan tempoh pelantikan pada 30 November 2016. Setibanya beliau di Kompleks Siswa UMT, beliau telah diperkenalkan kepada beberapa orang pegawai kanan dan staf UMT. Turut hadir sama adalah Ahli-ahli Majlis Perwakilan Pelajar UMT. Selepas itu, beliau terus diiring ke pejabat bagi mengetip waktu kehadiran melalui Sistem MyNemo UMT dan seterusnya menghadiri sesi taklimat yang disampaikan oleh Encik Mohd Nor Shokri bin Abdul Rahman, Pendaftar UMT.

Dalam ucapan pembukaan, beliau merakamkan ucapan terima kasih atas kerjasama dan sokongan yang diberikan kepada beliau bagi melaksanakan tugas di UMT. Beliau amat mengharapkan bantuan dan sokongan daripada semua staf dan pelajar UMT bagi merealisasikan visi dan misi UMT serta menaikkan imej UMT sebagai universiti yang terunggul. Bagi beliau, bekerja dalam satu pasukan akan menghasilkan impak yang lebih besar buat universiti. Beliau yang lebih dikenali dengan panggilan ‘Abah’ di kalangan para pelajar di UniMAP merupakan anak kelahiran Terengganu. Sebelum ini, beliau bertugas sebagai Dekan Fakulti Teknologi Kejuruteraan, Universiti Malaysia Perlis sejak dari tahun 2013 dan kepakaran akademik beliau ialah Kejuruteraan Bahan (Material Engineering).