CANSELORI

UNIVERSITI MALAYSIA TERENGGANU

Bandar Mampan Komuniti Sejahtera

12792345_1564279660548826_6059487250949931512_o

Alhamdulillah, kita bersyukur ke hadrat Allah s.w.t., kerana dengan rahmatnya kita masih lagi dapat menghirup udara yang nyaman, kesihatan yang baik dan berbagai nikmat yang tidak terhingga. Lebih-lebih lagi kita dikurniakan dengan nikmat yang terbesar iaitu nikmat Islam dan Iman. Sebagai manusia yang sentiasa mengharapkan kehidupan yang penuh dengan keselesaan, kita hendaklah mensyukuri dan menghargai setiap nikmat Allah s.w.t. tersebut. Allah taala menjadikan alam ini dengan nikmat air, udara, tumbuh-tumbuhan, haiwan, bukit, gunung-ganang, sungai dan sebagainya untuk kemudahan dan keperluan bagi kehidupan manusia sebagai hambaNya. Firman Allah taala dalam surah Hud, ayat 61 yang bermaksud, “Dan kepada kaum Hud, Kami utuskan saudara mereka Salleh. Dia berkata : Wahai kaumku! Sembahlah Allah, sebenarnya tiada Tuhan bagi kamu selain daripadaNya. Dialah yang menjadikan kamu daripada bahan-bahan bumi serta menghendaki kamu memakmurkannya. Oleh itu, minta ampunlah kepada Allah, kemudian bertaubatlah kepadaNya. Sesungguhnya Tuhanku sentiasa dekat lagi sentiasa memperkenankan permohonan hambaNya.”

Segala tindakan manusia hendaklah dalam rangka mengabdikan diri kepada Allah s.w.t. dan tidak mengakibatkan pencemaran, kemusnahan dan becana kepada manusia dan alam sekitarnya. Sebagai seorang muslim, kita mengharapkan faedah daripada tindakan dan amalan kita, bukan sahaja di dunia tetapi yang lebih penting di akhirat. Firman Allah taala dalam surah As-Syura ayat 20, yang bermaksud, “Sesiapa yang menghendaki (dengan amal usahanya) mendapat faedah di akhirat, Kami akan memberinya pada faedah yang dikehendakinya. Dan sesiapa yang menghendaki (dengan amal usahanya) kebaikan di dunia semata-mata, Kami beri kepadanya dari kebaikan di dunia itu (sekadar yang Kami tentukan), dan ia tidak akan beroleh sesuatu bahagian pun di akhirat kelak.”

Sekiranya kita umat Islam menjadikan Rasulullah s.a.w. sebagai contoh tauladan dalam semua tindakan, pasti kita akan mendapat kerahmatan dan kasih sayang Allah s.w.t. Firman Allah taala dalam surah Al-Ahzab, ayat 21, yang bermaksud, “Demi sesungguhnya adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang).”

Marilah kita meneliti bagaimana kita harus memakmurkan bumi bersempena Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia Peringkat Malaysia dan Karnival Kesejahteraan Bandar Tahun 2016 dengan tema “Bandar Mampan, Komuniti Sejahtera”. Pembangunan mampan ialah pembangunan bagi memenuhi keperluan masa kini tanpa menafikan generasi yang akan datang untuk memenuhi keperluan mereka. Perancangan ini memberi penekanan kepada pembentukan dan pengukuhan jalinan hubungan serta kerjasama, melalui perancangan dan pembangunan bandar. Pembangunan bandar yang mampan akan meningkatkan kualiti dan kesejahteraan kehidupan masyarakatnya. Ini bermakna apa juga perancangan dan tindakankita yang memberi faedah kepada manusia dan kehidupan lain, semuanya akan dinilai dan diberi ganjaran oleh Allah s.w.t. Berkaitan dengan alam sekitar yang mampan ini dan kehidupan masyarakat yang sejahtera, setiap kita pasti memerlukan alam yang bersih dan suci serta masyarakat yang harmoni.

Adalah diriwayatkan ada seorang bertemu sahabat Nabi yang masyhur iaitu Abu Darda’ r.a. yang ketika itu sedang menanam pokok. Kemudian lelaki itu bertanya kepada Abu Darda’, “Wahai Abu Darda’, mengapa engkau tanam pokok ini pada hal engkau sudah tua, sedangkan pohon ini akan mengambil masa bertahun-tahun untuk mengeluarkan hasil?” Maka Abu Darda’ menjawab, “Bukankah aku yang akan memetik pahalanya di kala orang lain memakannya?” Jawapan Abu Darda’ r.a. ini bertepatan dengan sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud, “Tidak ada seorang Muslim yang menanam tanaman atau menyemai semaian, lalu burung atau manusia atau binatang berkaki empat memakannya melainkan untuknya (pahala) sedekah.” (Riwayat Muslim)

Kita menyaksikan pada hari ini, berlakunya pelbagai masalah alam sekitar seperti pencemaran dalam segala bentuk, penebangan hutan tanpa kawalan, hakisan dan air berlumpur, disebabkan runtuhan kawasan bukit dan bercerun, pembangunan yang tidak terancang, ceroboh, banjir kilat, banjir besar serta bencana lain yang telah menyebabkan berlakunya ketidakseimbangan kepada alam sekitar. Keadaan ini telah menggugat kesejahteraan dan keselesaan kehidupan manusia.

Masyarakat dunia pada hari ini mulai bimbang dengan perubahan iklim dunia dan pemanasan global. Peningkatan suhu, terutama di kawasan bandar dan pinggir bandar terjadi adalah akibat daripada pelepasan gas-gas beracun yang dikeluarkan oleh kenderaan dan kilang-kilang industri yang terperangkap di udara. Kegagalan kita menguruskan alam sekitar dan kebersihannya juga telah mengundang pelbagai wabak penyakit yang merbahaya seperti denggi dan virus zika.

Antara langkah-langkah yang dilaksanakan untuk mewujudkan persekitaran bandar yang lebih berkualiti dan komuniti sejahtera ialah :-

  1. Mempertingkatkan aspek kebersihan persekitaran, di samping melakukan pengasingan sisa pepejal dan amalan kitar semula;
  2. Memperbanyakkan penanaman pokok-pokok di kawasan bandar yang akan berfungsi sebagai pembersih udara dengan membebaskan banyak oksigen untuk faedah manusia;
  3. Mempastikan penebangan hutan dijalankan secara berhemah dan tidak melakukan pembakaran terbuka;
  4. Memberi sokongan dan kerjasama kepada usaha pihak berkuasa untuk mewujudkan bandar mampan, masyarakat sejahtera.

Akhir kata, marilah sama-sama kita bertanggungjawab menjaga bumi yang diamanahkan oleh Allah taala ini untuk dimakmurkan dengan sebaiknya demi kelangsungan generasi yang akan mewarisinya. Semoga setiap usaha kita yang baik pada hari ini akan dibalas dengan ganjaran yang besar di sisi Allah s.w.t.

[Petikan khutbah Jumaat di Pusat Islam Sultan Mahmud UMT pada 2 Disember 2016]