Home » Khutbah Jumaat » Kefardhuan Menuntut Ilmu

Sat Nov 25, 2017
Waktu
Subuh 5:39 am
Syuruk 6:59 am
Zohor 12:55 pm
Asar 4:17 pm
Maghrib 6:50 pm
Isyak 8:01 pm

Kefardhuan Menuntut Ilmu

kewajiban-menuntut-ilmu-agama

Ilmu adalah asas terpenting dalam kehidupan manusia. Kemuliaan dan kehebatan manusia berbanding malaikat dan jin adalah kerana ilmu yang diajarkan Allah kepada Nabi Adam a.s. Firman Allah s.w.t. dalam surah Al-Baqarah, ayat 31-32 yang bermaksud, “Dalam Ia telah mengajarkan Nabi Adam, akan segala nama benda-benda dan gunanya, kemudian ditunjukkanNya kepada malaikat lalu Ia berfirman, Terangkanlah kepada Ku nama benda-benda ini semuanya, jika kamu golongan yang benar. Malaikat itu menjawab, Maha Suci Engkau kami tidak mempunyai pengetahuan selain dari apa yang Engkau ajarkan kepada kami. Sesungguhnya Engkau jualah yang Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.” Maka tidak hairanlah Allah s.w.t. memberi penekanan kepada menuntut ilmu, sehinggakan ayat pertama diturunkan kepada Rasulullah s.a.w., bermula dengan kalimah Iqra’ yang bermaksud “Bacalah”. Ini kerana membaca adalah cara mendapatkan ilmu.

Ilmu telah ditakrifkan oleh ulama di antaranya sebagai mengetahui sesuatu sesuai dengan hakikat sebenarnya dengan pengetahuan yang yakin. Ini bermaksud, Islam hanya mengiktiraf pengetahuan yang sebenar, sebagai ilmu. Adapun maklumat yang salah dan tidak tetap dengan hakikat sebenar dianggap sebagai ilmu. Oleh itu, ilmu dalam Islam adalah sesuatu yang suci dan tinggi nilainya. Maka wajarlah para ulama diiktiraf sebagai pewaris para nabi. Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud, “Dan sesungguhnya pada ulama itu adalah pewarisnya para nabi dan sesungguhnya para nabi tidak meninggalkan duit dinar mahupun derma, mereka mewariskan ilmu pengetahuan. Maka sesiapa yang mengambil ilmu pengetahuan sesungguhnya dia telah mengambil habuan yang banyak.” (Riwayat Abu Daud)

Lautan ilmu pengetahuan tiada tepian dan batasan. Dari kerana inilah, seseorang perlu mendahulukan ilmu yang penting daripada yang kurang penting, bagi tujuan menyusun “Aulawiyat” dan keutamaan ilmu, para ulama membahagikan ilmu kepada fardu ain dan fardu kifayah. Ilmu fardu ain adalah ilmu yang wajib diketahui oleh setiap mukalaf daripada segala tuntutan syarak ke atasnya, agar dapat beramal dan beribadah dengan sempurna. Ilmu berkaitan akidah dan kerohanian juga menjadi kefarduan ke atas setiap individu.

Ilmu fardu kifayah pula ialah ilmu-ilmu yang dituntut ke atas umat secara umum, iaitu wajib ada dalam kalangan umat, mereka yang mahir dalam ilmu tersebut. Ilmu fardu kifayah merangkumi segala ilmu yang membolehkan kelangsungan hidup manusia sebagai khalifah di dunia ini. Umat Islam dituntut mencari segala ilmu yang bermanfaat sama ada ilmu dunia mahupun akhirat. Tiada istilah ilmu dunia yang haram selagi mana ilmu tersebut bermanfaat. Adapun ilmu yang memudaratkan, hendaklah dijauhi dan haram dipelajari.

Marilah kita menjadikan ilmu sebagai keutamaan dalam hidup kita. Sebagaimana jasad kita setiap hari perlu kepada makanan dan minuman, akal dan jiwa kita perlu kepada ilmu dan makrifat. Marilah kita menghayati amanat Rasulullah s.a.w. kepada umatnya agar menuntut ilmu. Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud, “Sesiapa yang menjalani satu jalan menuntut ilmu, pasti Allah bukakan jalan kepadanya ke syurga. Sesungguhnya para malaikat menghamparkan sayap mereka kerana redha dengan penuntut ilmu dan sesungguhnya orang alim didoakan keampunan baginya oleh penduduk langit dan penduduk bumi serta ikan-ikan di lautan. Sesungguhnya kelebihan orang alim ke atas orang abid (ahli ibadah) seperti kelebihan bulan purnama ke atas sekalian bintang.” (Riwayat Abu Daud)

[Petikan khutbah Jumaat di Pusat Islam Sultan Mahmud UMT pada 25 November 2016]