Home » Berita Canselori » UMT Meraikan 2,806 Graduan di Majlis Konvokesyen Kali Ke-14

Wed Sep 20, 2017
Waktu
Subuh 5:42 am
Syuruk 6:57 am
Zohor 1:01 pm
Asar 4:09 pm
Maghrib 7:05 pm
Isyak 8:12 pm

UMT Meraikan 2,806 Graduan di Majlis Konvokesyen Kali Ke-14

15138382_1688784231431701_7680628484746949323_o

Pada hari ini, seramai 2,806 graduan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menerima ijazah dan diploma masing-masing dalam Majlis Konvokesyen UMT Kali Ke-14 yang bermula dari 19 November 2016, di Dewan Sultan Mizan, UMT. Majlis Konvokesyen UMT ini berlangsung selama tiga hari dalam enam sesi melibatkan seramai 32 graduan Doktor Falsafah (Ph.D), 133 gra­duan Sarjana, 2,396 graduan Sarjana Muda dan 245 penerima dip­loma. KDYMM Sultanah Nur Zahirah selaku Canselor UMT telah mencemar duli mengurniakan ijazah kehormat, kedoktoran, sarjana, sarjana muda serta anugerah kecemerlangan kepada seramai 234 graduan pada sesi pertama konvokesyen tersebut.

Tuanku Canselor telah bertitah merakamkan ucapan tahniah kepada graduan atas kejayaan yang diperoleh dan memanfaatkan kejayaan tersebut untuk membalas jasa ibubapa masing-masing. Tuanku Canselor juga merakamkan ucapan tahniah kepada warga kerja UMT serta berbangga dengan kejayaan UMT dalam pelbagai bidang di peringkat negara dan global. UMT perlu meningkatkan usaha untuk melahirkan graduan yang holistik serta meningkatkan jaringan kerjasama dengan mana-mana pihak untuk lebih berdaya saing. Mengakhiri titah, Tuanku Canselor menasihatkan para graduan supaya mengamalkan nilai-nilai integriti serta melakari kehidupan dengan kecemerlangan. Dalam majlis konvokesyen tersebut, Tuanku Canselor telah berkenan menganugerahkan ijazah kehormat kepada beberapa orang tokoh iaitu –

  1. Ijazah Kehormat Doktor Pengurusan : Tan Sri Dato’ Seri Ahmad Ramli bin Haji Mohd Nor, Pengarah Urusan Boustead Heavy Industries Corporation Bhd
  2. Ijazah Kehormat Doktor Sains : Dato’ Seri Pahlawan Mohd Rasip bin Hassan, Pengarah Bright Steel Service Centre
  3. Ijazah Kehormat Doktor Sains : Profesor Dr. Ir. Widi Agoes Pratikto, Profesor Kejuruteraan Lautan di Institut Teknologi Sepuluh Nopember (ITS), Indonesia

Selain itu, Tuanku Canselor juga telah menyampaikan anugerah-anugerah kecemerlangan kepada –

  1. Anugerah Pelajaran DiRaja : Nurjannatul Naim binti Kamaruddin, Sarjana Muda Sains (Sains Biologi), Pusat Pengajian Sains Asas
  2. Anugerah Pelajaran DiRaja : Lew Huey Wern, Sarjana Muda Sains Makanan (Teknologi Makanan), Pusat Pengajian Sains dan Teknologi Makanan
  3. Anugerah Pingat Emas Canselor : Elfina binti Azwar, Sarjana Muda Teknologi (Alam Sekitar), Pusat Pengajian Kejuruteraan Kelautan
  4. Anugerah Pro Canselor : Dr. Khadijah Hilmun binti Kamaruddin, Doktor Falsafah (Penyelidikan) – Fizik, Pusat Pengajian Sains Asas
  5. Anugerah Pro Canselor : Dr. Noraina Mazuin binti Sapuan, Doktor Falsafah (Penyelidikan) – Ekonomi, Pusat Pengajian Pembangunan Sosial dan Ekonomi
  6. Anugerah Pengerusi Lembaga Pengarah UMT : Liew Rock Keey, Sarjana Sains (Penyelidikan), Pusat Pengajian Kejuruteraan Kelautan

Menurut Naib Canselor UMT, Prof. Dato’ Dr. Nor Aieni Mokhtar, UMT sedang meningkatkan kecemerlangan sistem akademik melalui pengaplikasian dua sistem penilaian iaitu Sistem Integrated Cummulative Grade Point Average (iCGPA) dan MyStar bagi menghasilkan graduan yang lebih holistik, seimbang dan berdaya saing. UMT juga memberikan komitmen jitu dalam penyelidikan terutamanya di peringkat kebangsaan melalui Ekspedisi Pelayaran Saintifik Kebangsaan 2016 yang melibatkan 60 orang penyelidik dengan menggunakan kapal RV Discovery UMT. Selain itu, beliau juga memaklumkan bahawa UMT sedang bekerjasama dengan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (MAIDAM) bagi merealisasikan penubuhan Tabung Wagaf Ilmu UMT, bagi menampung aktiviti pengajaran, pembelajaran, penyelidikan serta menambahbaik pembangunan komuniti setempat melalui program pemindahan ilmu dan bantuan kepada pelajar.

Bersempena dengan Majlis Konvokesyen, UMT turut menganjurkan Pesta Konvokesyen dengan pelbagai program menarik antaranya pertandingan Ragbi Sentuh, Street Soccer, Ukir Buah, Gitar Tong, Karaoke, forum perdana, pemeriksaan kesihatan, persembahan dikir barat dan persembahan artis jemputan oleh Kumpulan Lantana dan Roy Kapilla.