Home » Berita Canselori » UMT Lancarkan Hari Bebas Kenderaan Bermotor Dalam Kampus

Wed Sep 20, 2017
Waktu
Subuh 5:42 am
Syuruk 6:57 am
Zohor 1:01 pm
Asar 4:09 pm
Maghrib 7:05 pm
Isyak 8:12 pm

UMT Lancarkan Hari Bebas Kenderaan Bermotor Dalam Kampus

14991329_1684633968513394_2201523627283049402_o

Dunia semakin terancam dengan pelbagai pencemaran alam sekitar. Antara pencemaran alam sekitar yang ketara ialah pencemaran udara yang terhasil daripada kesan pelepasan asap kotor oleh industri terus ke udara melalui cerobong asap kilang, kenderaan motor di jalan raya, asap rokok,pembakaran terbuka dan letusan gunung berapi. Antara kesan pencemaran udara adalah penipisan lapisan ozon, jerebu, hujan asid ,dan pemanasan bumi. Pencemaran udara mungkin boleh memberi kesan terhadap kesihatan, keselamatan dan keselesaan manusia ataupun harta benda.

Sehubungan dengan itu, pada 10 November 2016, UMT telah melancarkan program ‘Hari Bebas Kenderaan Bermotor Dalam Kampus’ bagi mencapai kelestarian dan kelangsungan masa depan sebuah kampus yang hijau. Program ini merupakan salah satu komponen yang terdapat dalam Blueprint Kampus Lestari UMT selain dapat mewujudkan sebuah kampus mesra pejalan kaki dan berbasikal serta mengurangkan kemasukan kenderaan bermotor di dalam kampus. Secara tidak langsung ia dapat mengurangkan pembebasan gas karbon monoksida dan meningkatkan gaya hidup sihat dalam kalangan warga kampus. Hari Khamis minggu pertama setiap bulan telah diisytiharkan sebagai “Hari Bebas Kenderaan Bermotor Dalam Kampus UMT”. Semua kenderaan warga UMT termasuk staf, pelajar, pelawat dan orang awam adalah dilarang memasuki kawasan yang telah digazetkan pada hari tersebut dan hanya dibenarkan berjalan kaki dan berbasikal di kawasan yang telah diwartakan sebagai “Zon Bebas Kenderaan Bermotor”.

Majlis pelancaran program tersebut telah disempurnakan oleh Prof. Dato’ Dr. Nor Aieni Mokhtar, Naib Canselor UMT di Dataran Kompleks Siswa UMT dan dihadiri oleh para pelajar UMT. Sebagai langkah promosi, UMT telah menyediakan 267 buah basikal yang disumbangkan oleh pihak HEPA dan beberapa syarikat tempatan dan basikal-basikal ini boleh diguna oleh warga UMT untuk bergerak di dalam Zon Bebas Kenderaan Bermotor. Menurut seorang pelajar UMT, Faezatul Nadhirah, program ini amat bagus kerana ia menyokong kelestarian alam sekitar selain dapat menyihat tubuh badan serta meningkatkan kecergasan fizikal pelajar sebelum masuk kuliah.