CANSELORI

UNIVERSITI MALAYSIA TERENGGANU

Rumpai Laut Merah di Pantai Mengabang Telipot

14633642_1244472555626385_4695667960810525461_o

Dalam kesibukan membuat persiapan menghadapi musim tengkujuh serta bencana banjir, penduduk  Kampung Tanjung Gelam, Mengabang Telipot, telah digemparkan dengan fenomena rumpai laut berwarna merah jambu yang ditemui terdampar di pantai kampung berkenaan pada 29 Oktober yang lepas. Penemuan rumpai laut tersebut telah mencetuskan tanda tanya pelbagai pihak sama ada ia merupakan petanda alam atau sebaliknya. Menurut penduduk kampung berkenaan, mereka menyedari kehadiran rumpai laut setelah terganggu dengan bau yang busuk datang dari arah pantai dan mereka terkejut setelah mendapati begitu banyak rumpai laut yang terdampar di pantai.

Menyedari akan kejadian tersebut, UMT telah menggerakkan para penyelidik untuk mengkaji fenomena yang berlaku dan kesannya kepada kehidupan manusia dan alam sekitar. Menurut Prof. Madya Dr. Siti Aisyah Abdullah, Pensyarah Pusat Pengajian Sains Marin dan Sekitaran, UMT, fenomena tersebut pernah berlaku pada tahun 2003, namun belum dapat dipastikan adakah rumpai laut yang ditemui pada tahun ini berasal dari spesis yang sama atau sebaliknya. Menurut beliau juga, rumpai laut tersebut tidak beracun, namun penduduk dinasihatkan untuk tidak menyentuh rumpai laut kerana dibimbangi ia mendatangkan kesan kepada kesihatan mereka.

Beliau dan beberapa penyelidik lain sedang mengkaji spesis rumpai laut tersebut serta mengenalpasti faktor-faktor yang menyebabkan ia hanyut ke kawasan pantai kampung berkenaan. “Ada warna rumpai laut ini yang sudah menjadi putih apabila terkena air tawar, jika terkena hujan lagi ia akan rosak manakala yang tidak terkena hujan akan kekal warnanya. Rumpai ini adalah rumpai laut merah, nama sebenarnya akan ambil masa sedikit untuk kita kaji. Jika dilihat dengan mata kasar ia bagaikan benang tetapi selepas melihat dengan mikroskop barulah kita tahu namanya.”, ujar beliau lagi. Beliau juga tidak menolak kemungkinan rumpai tersebut hanyut dibawa ombak serta gelombang yang kuat di dasar laut menjelang musim tengkujuh.