CANSELORI

UNIVERSITI MALAYSIA TERENGGANU

UMT Lancarkan Tabung Endowment

14691277_1671525243157600_2605931787162572742_o

Pada 17 Oktober 2016, UMT telah melancarkan Pernyataan Polisi Pelaburan dan Laman Web Tabung Endowment UMT bagi memperkasakan lagi aktiviti pelaburan dan penjanaan pendapatan universiti. Majlis pelancaran ini telah disempurnakan oleh Dato’ Mohammed Azlan bin Hashim, Pengerusi Lembaga Pengarah UMT di Auditorium PSNZ UMT. Majlis ini turut dihadiri oleh Naib Canselor UMT, ahli-ahli Lembaga Pengarah UMT dan pegawai-pegawai UMT.

Profesor Dato’ Dr. Nor Aieni Mokhtar, Naib Canselor UMT dalam ucapannya berkata UMT perlu mendapatkan dana tambahan bagi menampung perbelanjaan operasi universiti yang kian meningkat. Tambahan pula UMT perlu mengurangkan kebergantungan kepada peruntukan kerajaan yang pada masa sekarang mendapat peruntukan sebanyak 90%, dan perlu menjana pendapatan menerusi penyewaan aset dan kemudahan serta melalui aktiviti penjualan kepakaran yang dimiliki oleh universiti. Oleh itu, dengan terhasilnya buku Pernyataan Polisi Pelaburan dan laman web rasmi Tabung Endowment UMT, universiti boleh bergiat dengan lebih kreatif dan inovatif dalam meneroka pelaburan yang memberikan pulangan yang tinggi serta menjana pendapatan bagi mengukuhkan keupayaan dan sumber universiti dalam melahirkan modal insan yang berpengetahuan tinggi. Selain itu, UMT turut melancarkan Kursi Endowment iaitu Kursi Profesor Pelawat Endowment dan Kursi Profesor Madya Endowment sebagai simbol terhadap usaha untuk meningkatkan penjanaan pendapatan universiti.

“Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menghasilkan tujuh tangkai, tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaNya, lagi meliputi ilmu pengetahuanNya.” (surah Al-Baqarah, ayat 261)