Home » Khutbah Jumaat » Kelebihan dan Keistimewaan Zulhijjah

Wed Sep 20, 2017
Waktu
Subuh 5:42 am
Syuruk 6:57 am
Zohor 1:01 pm
Asar 4:09 pm
Maghrib 7:05 pm
Isyak 8:12 pm

Kelebihan dan Keistimewaan Zulhijjah

 

664xauto-padang-arafah-tempat-berkumpulnya-jemaah-haji-seluruh-dunia-150922z

Esok, kita akan melalui bulan Zulhijjah 1437H. Zulhijjah merupakan salah satu daripada empat bulan yang dihormati dalam Islam iaitu Zulkaedah, Zulhijjah, Muharam dan bulan Rejab. Zulhijjah mempunyai kelebihan yang istimewa di sisi Allah s.w.t. Kita dianjurkan untuk memperbanyakkan amalan soleh dalam menambah pahala dan bekalan buat alam akhirat kita nanti. Al-Hafiz Ibnu Hajar telah menjelaskan tentang keistimewaan bulan Zulhijjah terutamanya 10 hari yang pertama dalam bulan tersebut. Ini kerana terdapatnya dalam hari-hari tersebut amal ibadah yang besar seperti solat, puasa, sedekah dan haji, yang mana kebaikan amalan itu tidak terdapat secara serentak pada bulan-bulan yang lain. Sabda Nabi Muhammad s.a.w. yang bermaksud, “Tiada amalan soleh pada mana-mana hari yang lebih afdal daripada hari-hari ini iaitu 10 hari pertama Zulhijjah. Para sahabat bertanya : Hatta jihad di jalan Allah? Baginda menjawab : Ya, hatta jihad di jalan Allah. Kecuali orang yang keluar berjihad dengan jiwa dan hartanya, dan tidak kembali dengan sesuatupun yakni mati syahid.” (Riwayat Al-Bukhari)

 

Amalan Sunat di Bulan Zulhijjah

Inilah antara tanda kasihnya Allah s.w.t. kepada kita, Dia Maha Mengetahui bahawa kita tidak mampu untuk melakukan ibadah khusus terutama amalan sunat sepanjang tahun, lalu dianugerahkannya kepada umat Islam hari-hari tertentu dalam setahun untuk digandakan pahala dan diampunkan segala dosa kita, agar usia kita yang singkat di dunia ini tidak menjadi penghalang bagi meraih keredhaan Allah dan pahala yang berlipat ganda. Kita juga dianjurkan supaya berpuasa sepanjang permulaan bulan Zulhijjah iaitu dari 1 hingga 9 haribulan, terutama pada hari Arafah iaitu hari kesembilan bulan Zulhijjah yang bakal tiba tidak lama lagi. Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud, “Puasa hari Arafah, daku dengan penuh pengharapan. Semoga Allah menghapuskan dosa setahun sebelumnya dan setahun sesudahnya.” (Riwayat Muslim)

Kita juga dianjurkan supaya memperbanyakan bertaubat kepada Allah, membaca Al-Quran, istighfar, berzikir, bertahmid dan bertahlil bermula daripada awal Zulhijjah sehingga hari Arafah dan sehingga berakhirnya hari Tasyriq. Sabda Nabi Muhammad s.a.w. yang bermaksud, “Tiada suatu haripun dalam setahun yang amalan kebaikan padanya menyamai kelebihan sepuluh hari pertama bulan Zulhijjah. Oleh itu, hendaklah kamu memperbanyakkan zikir, tahlil, takbir dan tahmid.” (Riwayat Imam Ahmad) Malah, kita juga digalakkan untuk melaungkan takbir raya bermula subuh hari 9 Zulhijjah hingga berakhirnya hari Tasyriq pada 13 Zulhijjah.

 

Ibadah Korban Mendidik Jiwa

Kita sedia maklumbahawa ibadah berkorban haiwan ternakan yang dilaksanakan oleh yang berkemampuan hanya terdapat pada bulan Zulhijjah iaitu pada 10 hingga 13 Zulhijjah. Ini merupakan ibadah mulia bagi mendermakan sebahagian daging sembelihan kepada golongan yang kurang berkemampuan, juga untuk kaum keluarga, jiran tetangga dan sahabat handai. Ibadah korban ini mendidik umat supaya sanggup mengorbankan sebahagian hartanya kerana Allah di samping berkongsi rasa terhadap kesukaran hidup sebahagian golongan masyarakat dan kekayaan dalam mendapatkan kemewahan hidup. Antara saranan Nabi Muhammad s.a.w. kepada mereka yang berniat dan mengeluarkan perbelanjaan untuk berkorban adalah :-

  1. Apabila tibanya malam pertama bulan Zulhijjah, adalah dilarang (secara makruh) kepada mereka yang ingin berkorban daripada mencukur misai dan rambut, mengerat atau memotongnya, juga mengerat kuku atau mencabut sebarang bulu yang tumbuh pada tubuh mereka. Ini hendaklah dibiarkan tumbuh seperti biasa sehingga haiwan korban mereka disembelih pada hari raya tersebut.
  2. Menyaksikan sendiri majlis korban tersebut bagi mereka yang dapat menghadirinya.

 

Amanat Hari Arafah

Nabi Muhammad s.a.w. ketika berwukuf bersama 144,000 orang Islam di padang Arafah pada hari Jumaat, 9 Zulhijjah di tahun 10 hijrah, telah menyampaikan suatu amanat yang mengandungi pengajaran dalam kehidupan masyarakat Islam. Antara pesanan Rasulullah s.a.w. ialah –

“Wahai manusia, sesungguhnya darah dan harta kamu adalah terjamin dan dipelihara sepertimana sucinya hari Arafah ini, mulianya bulan Zulhijjah dan sucinya negeri Mekah ini. Takutlah azab Allah dalam menjalankan tanggungjawab terhadap pada isteri dan kaum wanita, mereka telah dijadikan sebagai isteri-isteri kamu dengan amanah daripada Allah. Mereka dihalalkan kepada kamu dengan lafaz akad nikah yang menggunakan kalimat Allah. Justeru, diharamkan mereka membenarkan diri disentuh oleh lelaki lain, jika mereka melanggar larangan tersebut, maka pukullah mereka dengan pukulan yang tidak mencederakan sebagai pengajaran, namun demikian kamu tetap berkewajipan memberikan mereka makanan dan pakaian dengan cara yang baik. Aku tinggalkan kepada kamu untuk diamalkan, kamu tidak akan sesat jika berpegang kepadanya, iaitu kitab Allah Al-Quran. Hendaklah kamu mengabdikan diri kepada Allah, Tuhan kamu, dirikanlah solat lima waktu yang difardukan itu, kerjakanlah puasa sebulan Ramadhan, keluarkanlah zakat harta kamu dengan rasa redha daripada hati sanubarimu, tunaikanlah ibadah haji di Baitullah, taatilah pemerintah dan pemimpin kamu, nescaya kamu akan memasuki syurga Tuhanmu. Kamu akan menemui Tuhanmu. Apabila meninggal dunia, pasti ditanya tentang amalanmu. Jangalah kamu kembali berada di dalam kesesatan selepas kewafatanku yang menyebabkan sebahagian kamu memusuhi dan memerangi sebahagian yang lain. Ketahuilah bahawa orang yang melakukan jenayah dan kesalahan, ianya pasti ditanggung oleh pelakunya sendiri bukan orang lain, begitu juga kesalahan bapa tidak akan ditanggung oleh anaknya dan bapa juga tidak akan menanggung kesalahan anaknya. Sesungguhnya syaitan tidak dapat memurtadkan kamu di dalam negeri Mekah ini tetapi ia tetap terus mencuba untuk menundukkan kamu supaya mentaati perintahnya, walaupun di dalam sekecil-kecil perlakuan sehingga ia gembira dengan kejayaan itu.”

 

Marilah sama-sama kita memanfaatkan nasihat Rasulullah s.a.w ini dengan berusaha untuk mengamalkannya dalam kehidupan kita seharian di samping menghidupkan amalan bulan Zulhijjah. Mudah-mudahan kita mendapat kejayaan di dunia dan kebahagiaan di akhirat yang kekal abadi.

[Petikan khutbah Jumaat Pusat Islam Sultan Mahmud UMT pada 2 September 2016]