Home » Berita Canselori » Ketelusan dan Integriti Dalam Meneroka Ekonomi Baharu

Wed Sep 20, 2017
Waktu
Subuh 5:42 am
Syuruk 6:57 am
Zohor 1:01 pm
Asar 4:09 pm
Maghrib 7:05 pm
Isyak 8:12 pm

Ketelusan dan Integriti Dalam Meneroka Ekonomi Baharu

14115507_1647848452191946_5343320545620805103_o

Isnin, 29 Ogos 2016

Krisis kewangan, kegawatan ekonomi, kegagalan tadbir urus korporat dan penyampaian perkhidmatan awam secara berpusat antara cabaran asas yang perlu dihadapi oleh masyarakat, entiti perniagaan atau kerajaan pada masa ini. Malah ia perlu dihadapi secara beretika dan profesional  bagi memastikan segala sumber yang ada di dalam organisasi dapat diurus bagi memenuhi kehendak pemegang taruh (stakeholder). Berdasarkan kepada senario semasa ini, Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan dan Maritim UMT telah menganjurkan 4th International Conference on Accounting, Business & Economics 2016 dengan tema “Thriving In Emerging Economics : Transparency and Management Integrity”.

Pengucaputama dalam persidangan pada kali ini ialah Dato’ Akhbar Satar, President Transparency International Malaysia dan Prof. Dr. Normah Omar, Pengarah Institut Penyelidikan Perakaunan, UiTM. Persidangan ini berlangsung selama tiga (3) hari pada 28-30 Ogos 2016 bertempat di Primula Beach Hotel Kuala Terengganu. Sebanyak 80 kertas kerja akan dibentangkan dan 15 kertas kerja terbaik akan diterbikan dalam The Journal of Sustainability Science and Management (JSSM) UMT.

Naib Canselor UMT, Prof. Dato’ Dr. Nor Aieni Mokhtar dalam ucapan perasmiannya menyatakan, pengurusan integriti, ketelusan, kepertanggungjawaban dan penetapan hala tuju yang betul di peringkat pengurusan tertinggi adalah antara elemen penting dalam tadbir urus yang baik (good governance). Sektor kerajaan dan sektor swasta harus membina hubungan yang kukuh dengan pemegang taruh melalui penyampaian maklumat dan pencapaian organisasi secara berterusan dan telus. Malah, dalam meneroka ekonomi baharu, pelaksanaan strategi pertumbuhan berdaya saing dan mampan juga harus dimaklumkan kepada pemegang taruh seperti kawalan keberkesanan kos, penumpuan terhadap pelanggan, dan penambahbaikan keberkesanan operasi organisasi.

Beliau turut menyatakan bahawa universiti juga perlu melaksanakan beberapa strategi baharu dalam mendepani isu dan cabaran semasa dalam sektor pendidikan tinggi. Antara cabaran yang perlu dihadapi oleh UMT ialah untuk melahirkan graduan UMT yang holistik dan mempunyai kemahiran keusahawanan, serta meningkatkan keupayaan menjana pendapatan universiti dengan pengurangan kebergantungan kepada geran kerajaan sebanyak 10%. UMT perlu menyahut cabaran ini dengan merangka strategi yang berkesan tanpa mengabaikan aspek ketelusan dan pengurusan integriti di semua peringkat pengurusan dalam universiti. UMT juga perlu meningkatkan hubungan kerjasama dengan rakan-rakan strategik bagi membantu universiti maju kehadapan.