Home » Berita Canselori » RV Discovery UMT Mulakan Pelayaran Saintifik Kebangsaan

Sat Nov 25, 2017
Waktu
Subuh 5:39 am
Syuruk 6:59 am
Zohor 12:55 pm
Asar 4:17 pm
Maghrib 6:50 pm
Isyak 8:01 pm

RV Discovery UMT Mulakan Pelayaran Saintifik Kebangsaan

G3

Pada 18 Ogos 2016, kapal RV Discovery UMT telah memulakan Ekspedisi Pelayaran Saintifik Kebangsaan (ESPK) 2016 yang bertolak dari jeti Duyung Marina & Resort Terengganu menuju ke perairan Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor. Pelayaran fasa A ESPK’16 ini akan melibatkan 14 orang saintis dari pelbagai universiti dan agensi serta mengambil masa selama 10 hari. Majlis pelancaran Fasa A ESPK’16 telah disempurnakan oleh Prof. Dato’ Dr. Nor Aieni binti Mokhtar, Naib Canselor UMT. Turut hadir ke majlis tersebut ialah Prof. Madya Dr. Mohd Fadzil bin Mohd Akhir, Ketua ESPK’16 yang juga merupakan Pensyarah di Institut Oseanografi dan Sekitaran (INOS) UMT.

Menurut Dr. Mohd Fadzil, tujuan ESPK’16 adalah untuk mengkaji kesan perubahan iklim monson terhadap ekosistem marin dan sumber perikanan yang akan melibatkan empat bidang iaitu fizik, kimia, biologi dan geologi. Selain itu, ia juga bertujuan untuk mengkaji proses dan kesan julang air di Laut China Selatan. Julang air atau ‘upwelling’ merupakan fenomena fizikal oseanografi yang melibatkan gerakan air yang tumpat, sejuk, dan biasanya kaya dengan nutrien yang dipacu oleh angin ke arah permukaan lautan, menggantikan permukaan air yang lebih panas, biasanya yang kekurangan nutrien. Air yang kaya dengan nutrien yang naik merangsang pertumbuhan dan pembiakan hidupan marin seperti fitoplankton.

Prof. Dato’ Dr. Nor Aieni pula dalam ucapannya menyatakan ESPK’16 amat penting kerana ia berupaya mengumpul data-data penting dalam bidang oseanografi negara. Selain melihat kesan ‘upwelling’, ekspedisi ini juga akan mengkaji kesan-kesan perubahan iklim terhadap sumber makanan laut, batu karang dan hidupan marin yang lain. Malah ia dapat membantu Kerajaan Negeri Terengganu dalam penyediaan peta perairan negeri yang lebih informatif dan tepat. ESPK’16 juga merupakan salah satu program di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan kerana ia melibatkan kerjasama strategik antara MOSTI, UMT, TLDM dan Jabatan Laut Malaysia. Beliau juga berharap dapatan kajian ESPK’16 akan dilaporkan dan dikongsi dengan masyarakat dan pihak-pihak yang berkaitan.