Home » Berita Canselori » UMT Merupakan Universiti Pertama Di Dunia Menubuhkan Firma Pengajaran Perakaunan

Sat Nov 25, 2017
Waktu
Subuh 5:39 am
Syuruk 6:59 am
Zohor 12:55 pm
Asar 4:17 pm
Maghrib 6:50 pm
Isyak 8:01 pm

UMT Merupakan Universiti Pertama Di Dunia Menubuhkan Firma Pengajaran Perakaunan

UMT telah melakar sejarah menjadi Universiti Awam yang pertama di dunia dan di Malaysia menubuhkan Firma Pengajaran Perakaunan atau ”Teaching Accountancy Firm” dengan kerjasama Salihin Chartered Accountants (SAC), sebuah firma audit berlesen di Malaysia. Konsep penubuhan TAF adalah hampir sama seperti Hospital Pengajaran (Teaching Hospital) yang digunakan untuk pelajar-pelajar perubatan di universiti dan ia dilaksanakan di bawah program ”Industri@UMT” yang merupakan langkah proaktif UMT bagi menjalinkan hubungan erat dengan pihak industri serta meningkatkan kebolehpasaran graduan UMT. Malah ia selaras dengan Lonjakan 4 Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi) iaitu Hubungan dan Jaringan Industri.

G3G1

Pada 6 Mac 2016, YB Dato’ Seri Idris bin Jusoh, Menteri Pendidikan Tinggi Malaysia telah menyempurnakan pelancaran pejabat TAF yang ditempatkan di Pusat Pengajian Perniagaan dan Pengurusan Maritim, UMT. Firma cawangan ini telah memulakan operasi rasmi pada 1 Januari 2016 dengan menawarkan perkhidmatan seperti pengauditan, penyediaan akaun, kesetiausahaan syarikat, percukaian, khidmat nasihat dan lain-lain perkhidmatan berkaitan. Semua perkhidmatan TAF dikendalikan sepenuhnya oleh SAC.

G2G4

Menurut YB Dato’ Seri Idris, penubuhan TAF di UMT adalah bertepatan dengan program belajar sambil bekerja yang digalakkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi di bawah inisiatif “Dua Universiti + Dua Industri” atau (2u2i). Beliau juga sangat berbangga dengan penubuhan TAF kerana ia melonjakkan nama UMT sebagai universiti pertama di dunia yang menggunakan konsep sebagaimana hospital pengajaran. “Kelebihan konsep ini, pelajar perakaunan tidak perlu keluar dari kampus untuk bekerja atau menjalani latihan praktikal kerana TAF yang juga firma cawangan SAC telah dibuka di UMT. Bagi permulaan, saya difahamkan 6 orang pelajar UMT dipilih untuk mengikuti program TAF”, kata Idris lagi. Malah, negara yang memerlukan 60,000 akauntan menjelang tahun 2020 dan jumlah ini dapat dicapai dengan adanya usaha yang dirintis oleh UMT dengan SAC.