Home » Berita Canselori » Dato’ Nor Aieni Mokhtar Dilantik Sebagai Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMT yang Baharu

Wed Sep 20, 2017
Waktu
Subuh 5:42 am
Syuruk 6:57 am
Zohor 1:01 pm
Asar 4:09 pm
Maghrib 7:05 pm
Isyak 8:12 pm

Dato’ Nor Aieni Mokhtar Dilantik Sebagai Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMT yang Baharu

Pada 4 November 2014, Canselori UMT telah menyambut ketibaan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) yang baharu iaitu YBhg. Profesor Dato’ Dr. Nor Aieni binti Mokhtar. Beliau telah diberikan amanah untuk memegang jawatan tersebut bagi tempoh tiga tahun bermula 1 November 2014 hingga 31 Oktober 2017. Setibanya beliau di Kompleks Siswa, beliau telah diperkenalkan kepada beberapa orang pegawai kanan dan staf Canselori. Selepas itu, beliau terus diiring ke pejabat bagi meneruskan tugas. Beliau turut sempat merakamkan ucapan terima kasih atas kerjasama dan sokongan yang diberikan kepada beliau bagi melaksanakan tugas di UMT.

DSC_0427

Dato’ Dr. Nor Aieni merupakan profesor dalam bidang “Ionisation Physics & Laser  Technology” di Fakulti Kejuruteraan Awam, Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Beliau memperoleh Bachelor of Science (Physics) dari State University of New York (SUNY)-Binghamton, New York USA (1980), Master of Science (Physics) dari University College of Swansea, Wales, United Kingdom (1983) dan Ph.D. (Physics-Laser Technology) dari Universiti Teknologi Malaysia (1992). Dalam dunia akademik, beliau telah menghasilkan lebih daripada 120 penerbitan artikel, beberapa projek-projek penyelidikan dan perundingan sehinggalah kepada penghasilan produk yang telah berjaya dipatenkan.

Beliau telah dikurniakan Darjah Datuk Paduka Mahkota Terengganu (D.P.M.T.) oleh DYMM Sultan Terengganu pada tahun 2012, Darjah Johan Setia Mahkota (J.S.M.) oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada tahun 2010, Anugerah Tokoh Wanita Terengganu pada tahun 2008 dan beberapa pencapaian anugerah yang lain.

Di peringkat kebangsaan, beliau pernah dilantik sebagai Setiausaha Bahagian Direktorat Oseanografi Kebangsaan (NOD), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Ketua Pegawai Eksekutif ISI Ventures Sdn Bhd, Timbalan Pengarah Eksekutif Institut Sultan Iskandar, UTM, Ahli Majlis Maritim, Ahli Jawatankuasa Terumbu Karang Buatan, Ahli Majlis Taman Laut dan Ahli Majlis ‘STI-Climate Change & Biodiversity (MOSTI).

Di peringkat antarabangsa pula, beliau dilantik sebagai Naib Pengerusi II Majlis Eksekutif Intergovernmental Oceanographic Commission (IOC) UNESCO bagi Pasifik Barat (IOC / WESTPAC) dan Kumpulan Penasihat Saintifik. Beliau juga dilantik untuk mengetuai Jawatankuasa Saintifik berkaitan penyelidikan sains marin dan oseanografi serta sebagai Sekretariat Kebangsaan bagi Inisiatif Segi Tiga Terumbu Karang (CTI).

DSC_0440

Dalam menyokong aktiviti CTI di Malaysia, beliau telah melaksanakan pelbagai program termasuk penubuhan Sekretariat CTI Wilayah, Jawatankuasa Penyelaras Kebangsaan CTI (NCC) untuk pelaksanaan Pelan Tindakan Kebangsaan dan penerbitan Laporan Negeri-negeri Segi Tiga Terumbu Karang, Profil Persekitaran Pesisir ASEAN.