CANSELORI

UNIVERSITI MALAYSIA TERENGGANU

Sambutan Majlis Aidilfitri Canselori 1435H

dsc_5232

Pada tanggal 1 Syawal tahun Hijrah, seluruh masyarakat Islam di dunia akan menyambut Hari Raya Aidil Fitri. Di Malaysia, sambutan hari raya ini disebut juga sebagai Hari Raya Puasa. Hari raya ini disambut setelah menghabiskan kewajipan puasa pada bulan Ramadan. Canselori UMT juga telah mengadakan sambutan Aidil Fitri bagi melahirkan rasa syukur atas segala nikmat yang dikurniakan oleh Allah s.w.t.. Majlis Aidil Fitri Canselori 1435H telah diadakan pada 12 Ogos 2014 bertempat di Dataran Kompleks Siswa dan ia disambut secara sederhana tetapi meriah. Pelbagai juadah telah disediakan seperti nasi minyak, laksa, satay, lemang, ketupat, rendang, lontong, kuih-muih, cendol, buah-buahan dan sebagainya.

YBhg. Prof. Emeritus Dato’ Dr. Ibrahim Komoo, Naib Canselor UMT dalam ucapannya menyatakan bahawa “staf Canselori perlu mengambil pengajaran dan iktibar daripada amalan yang dilakukan sepanjang bulan Ramadhan dan dapat menunjukkan sikap dan memberikan sumbangan khidmat yang lebih baik kepada UMT. Setiap staf seharusnya menampilkan personaliti diri yang lebih unggul, komited dalam kerja berpasukan, berlumba-lumba dan ghairah dalam melakukan perkara kebaikan, menahan amarah dan ego, toleransi dan lebih fleksibel kepada perubahan dan sebagainya.” “Semua staf juga harus menggunakan kesempatan majlis yang diadakan pada hari ini untuk mengukuhkan hubungan silaturahim, memohon maaf atas kekhilafan yang lalu dan membina persahabatan baharu bagi membangunkan UMT yang dicintai”, katanya lagi.

Di samping itu, dalam majlis ini juga, YBhg. Naib Canselor UMT juga telah menyampaikan Anugerah Staf Bulanan Terbaik Canselori 2014 (Mac dan Jun) kepada Puan Hartini binti Badaudin, Puan Rozliana binti Mat Hussin, Puan Fadzilah binti Ambak dan Encik Yusoff bin Abdullah.

 

Disediakan oleh :-

Abdullah Syukri bin M. Saleh,
Ketua Pentadbiran Canselori
14 Ogos 2014