CANSELORI

UNIVERSITI MALAYSIA TERENGGANU

Lawatan Kerja Staf Canselori Ke UTP dan USM

G1

Di dalam struktur organisasi baharu UMT, Canselori mempunyai 9 pusat/bahagian utama yang mempunyai peranan dan fungsi masing-masing dalam menyokong dan mendukung visi dan misi UMT. Dalam usaha untuk menyokong hasrat dan wawasan UMT untuk menjadi sebuah “Universiti Berfokus Marin Terunggul dalam Negara dan Disegani di Peringkat Global”, maka staf Canselori perlu melakukan perubahan dalam pengurusan kerja dan mempunyai sikap yang betul dalam melaksanakan tugas. Sehubungan dengan itu, lawatan kerja ke beberapa institusi boleh dilaksanakan bagi membuka minda dan memberikan input tambahan kepada staf mengenai budaya korporat dan pengurusan kerja yang terbaik yang boleh diamalkan di UMT.

Oleh yang demikian, pada 17-18 September 2014, seramai 16 orang staf Canselori telah mengadakan lawatan kerja ke Universiti Teknologi Petronas (UTP) dan Universiti Sains Malaysia (USM). Pemilihan UTP kerana UTP merupakan IPTS yang telah mendapat kedudukan 200 QS Asia University Rankings bagi tahun 2014, manakala pemilihan USM pula kerana UMT telah menjadikan USM sebagai universiti mentor. Menerusi lawatan kerja tersebut, staf Canselori telah memfokuskan kepada beberapa objektif lawatan, seperti berikut :-

  1. Mempelajari budaya korporat dan pengurusan kerja yang dilaksanakan sehingga berjaya diiktiraf sebagai Universiti Penyelidikan;
  2. Mempelajari peranan yang dimainkan oleh Pejabat Naib Canselor USM dan UTP dalam meningkatkan citra dan kedudukan universiti di persada kebangsaan mahupun antarabangsa;
  3. Membina rangkaian perhubungan dengan rakan-rakan sekerja di USM dan UTP.

Diharapkan agar melalui lawatan kerja ini, staf Canselori dapat menjana idea baharu bagi meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan di UMT.

Disediakan oleh :
Abdullah Syukri bin M. Saleh,
Ketua Pentadbiran Canselori
22 September 2014